Thursday 31 October 2013

Menulis... Perlu Pedoman

Assalamualaikum WBT & Salam Inspirasi untuk semua,

Hari ini hari Jumaat, penghulu segala hari.

Buat rakan-rakan yang telah selesai menunaikan solat Jumaat, syukur Alhamdulillah.

Sekian lama tidak menulis di blog ini.

Sering diuji perasaan gentar, takut dan bertangguh untuk menulis.

Bimbang perkara yang ditulis bukan dari hati dan dengan tujuan selain memberi manfaat kepada insan lain.

Begitulah ujian Allah SWT kepada hati manusia. Namun hatiku ini hanya ingin berkongsi cerita dan pengalaman hidup yang bermakna. Perkara baik boleh dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Ya Allah di hari Jumaat yang mulia ini, hamba-Mu ini memohon kekuatan untuk menulis dari hati, terus difahami oleh pembaca juga ke dalam hati mereka. 

Aku mohon Ya Allah, agar penulisanku memberi manfaat kepada ramai insan di luar sana. Aku juga mohon Ya Allah agar pembaca sekelian dapat mencontohi teladan baik dari kisah yang aku kongsikan.

Tiada tempat aku bermohon melainkan Engkau Ya Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana, aku berhajat dianugerahkan idea-idea penulisan yang bernas agar dapat dijadikan contoh dan pedoman. 

Penulisan hamba-Mu hanya bertujuan memberi kebaikan dan manfaat bersama.

Amin Ya Rabb.

Aku mohon dari -Mu Ya Allah agar ia menjadi realiti.

Thursday 5 September 2013

Video Editing Pertamaku

Assalamualaikum WBT & Salam Inspirasi untuk semua,

Ini antara video cubaan pertama yang saya edit sendiri.

Banyak kali saya bercadang-cadang untuk memuatnaik video ini, tapi segan...

Hee, pelajaran mengedit video dipelajari dari Sifu Puan Diyana Tahir.

Hampir setahun sudah mempelajarinya dan banyak kali cubaan video pertama, dan akhirnya saya mengambil keputusan inilah video pertama.

Akhirnya.. Inspirasi dari Filem "Cheaper By The Dozen 2".

Hasil pertama inspirasi untuk banyak lagi video yang bakal dihasilkan.

Insya Allah.


Thursday 4 July 2013

Perjalanan Mencari Tujuan Hidup


Hidup tanpa tujuan ibarat kereta yang dipandu tanpa destinasi. Nak pergi sana tak jadi, nak pergi sini tak kisah, nak berhenti tepi bosan pulak. Hasilnya kehabisan minyak, perut keroncong dan kadang-kadang masam muka dengan si dia.

Tetapi jika dari awal sudah tahu destinasi yang hendak dituju, kita sudah dapat menjangka apa yang bakal kita lalui sepanjang perjalanan, tempoh perjalanan, kawasan rehat, tempat - tempat menarik dan yang paling penting pengisian sepanjang perjalanan.

Serupa dengan sebuah perjalanan menuju destinasi, kehidupan juga perlu ada tujuan. Teringat seorang bekas rakan sekerja pernah menyatakan pada saya, " Engkau ni bukan apa, kau dah jumpa cahaya di hujung terowong, tahniah". Ini yang dinyatakan beliau apabila saya mengambil keputusan berhenti kerja untuk fokus kepada pengajian saya. Secara jujurnya, pada ketika itu, saya kurang memahami perjalanannya, tetapi sedikit demi sedikit rahsia perjalanan ini didedahkan oleh Allah SWT. Syukur, saya mula hidup dengan mengisi hidup dengan tujuan hidup yang sebenar dan sememangnya ia menimbulkan rasa kebahagiaan dalam hati dan jiwa. 

Tanpa tujuan hidup kita menjadi tidak bermakna, kosong, meraba-raba dalam kegelapan. Bukankah Allah SWT menurunkan setiap insan dengan tujuan menjadi khalifah di muka bumi ini? 

Persoalannya bagaimana? 

Adakah anda sudah berjumpa dengan tujuan hidup anda?

Jangan sesekali berputus asa dalam pencarian ini. Setiap insan di dunia ini ditakdirkan melakukan sesuatu yang baik dan mulia sebagai tujuan hidup mereka.  Ketahuilah jika anda sudah mula mencari makna kehidupan anda, ini bermaksud tujuan hidup anda memang dimaksudkan untuk ditemui. 

Teruskan mencari, sentiasa hidup dari saat ke saat penuh penghayatan dan hargai setiap nikmat yang diberi oleh-Nya. Dengan bantuan dari Allah SWT Insya Allah kita akan bertemu dengan tujuan hidup kita. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT untuk petunjuk dalam kehidupan.

Sesungguhnya, hidup adalah satu perjalanan destinasi akhir iaitu kembali kepada keagungan Illahi. 

Amin.

Friday 28 June 2013

Dr OT, Bengkel Tulis Tesis Cepat & UIA

Assalamualaikum WBT dan Salam Inspirasi;


Sudah lama tidak menitip idea di blog ini. Projek ilmiah tahun akhir termasuklah urusan mencari kerja sentiasa mengisi hari-hari yang dilalui sehingga terlupa akan blog ini.  Maaf ya, inilah akibat cubaan saat-saat akhir untuk menyelesaikan projek ini sebelum hujung bulan September. Insya Allah bergraduasi Disember ini. Amin.

Keazaman yang kuat membuatkan saya mencari pelbagai sumber agar dapat segera menyiapkan projek ilmiah ini dan akhirnya dengan izin-Nya saya bertemu Cik Puan Nor Abeerah yang memperkenalkan saya dengan Mendeley dan Dr OT. Mendeley? Apa itu? Dr OT? Siapa beliau? 

Mendeley bukanlah satu permainan, kuih, atau apa sahaja yang Tuan-Tuan dan Cik Puan-Cik Puan fikirkan.  Mendeley sebuah aplikasi yang diperkenalkan untuk membantu pelajar-pelajar Phd dan Master menguruskan artikel dan menulis rujukan dengan mudah. Memang mudah dan menyenangkan, sesuai dengan personaliti Dr OT yang mengajar pelajar-pelajar beliau menggunakan aplikasi di Bengkel Penulisan Tesis Pantas & Pengurusan Artikel Mendeley.

Dr OT pula, pada mulanya saya sangka beliau berketurunan India kerana semua guru atau pensyarah yang saya temui yang mengajar subjek 'Research Method' berketurunan India.  Dr OT atau juga dikenali sebagai Dr Othman Talib seorang pensyarah yang banyak menganjurkan bengkel penulisan 'thesis' cepat. Beliau sendiri berjaya menyiapkan Phd beliau dalam tempoh 1 tahun 10 bulan dalam bidang animasi pendidikan kimia di Australia dan menerima pelbagai anugerah. Bangga betul dengan beliau. 


Bersama Dr Othman Talib, seorang yang kelakar dan santai orangnya

 
" Kenapa tulis tesis ni senang sangat?" antara penyataan beliau yang membuatkan hati saya membara. Saya tersangkut di peringkat menyiapkan projek ilmiah akhir ini sejak 2 tahun lalu. Segala kerja kursus dan peperiksaan telah diselesaikan, hanya tinggal projek ilmiah ini sahaja lagi. Dari hari ke hari, dari bulan ke bulan, dari tahun ke tahun, masih belum disiapkan.  Sudah 3 kali saya bertukar tajuk. Aduhai. 

Bengkel anjuran Dr OT di UIA semalam banyak mengajar saya menguruskan projek ilmiah ini. Sehingga bagaimana ingin membuat isi kandungan pun diajar. Tak sampai 5 saat pun. Terkedu saya melihat apa yang Dr OT ajar. Bukan apa, selama ini saya 'ingatkan' saya sudah peringkat tertinggi pengguna Ms Word rupanya masih ditahap kanak-kanak kecil. Huhu..

Bukan itu sahaja, banyak lagi tips dan muslihat yang diajar. Muslihat yang baik tau, yang membantu sangat pelajar-pelajar Master atau PhD yang sangkut di tengah jalan.  Zero Draft Of Thesis (ZDOT - 3 minit je dah siap), Filtering Based On Themes (FBOT) dan Speed Reading On Target (SROT) antara teknik best yang diperkenalkan. Memang terbaik. Hee.. Tergelak sendiri mengenangkan konon-konon 'kebijaksanaan' diri sendiri yang sebenarnya memakan diri. Ini yang dikatakan malu bertanya sesat jalan. Hee..

Dr OT turut menyelitkan sedikit sebanyak kisah asam garam penyelidikan di Malaysia. Memang banyak yang pahit tetapi ada juga yang manis. Dan yang paling manis kenangan di atas pentas saat menerima Ijazah Kedoktoran. Semoga menjadi realiti. Amin.

Ya Allah izinkan hamba-Mu dan Suamiku menyiapkan projek akhir ini dan meneruskan pengajian ke peringkat PhD. Lokasi bengkel di UIA sedikit sebanyak mengimbau kenangan di Kota Suci Mekah awal tahun ini.  Sangat menenangkan dan mendamaikan. Seronok juga jika dapat belajar di UIA. Hee.. Mujur pihak penganjur Hjh Azizah dari D'Anna Infotech Solutions menjalankan bengkel disini. Terasa sedikit seperti pelajar UIA. 

Tahniah diucapkan buat rakan-rakan di Management & Science University yang bakal menerima Ijazah Sarjana Perniagaan esok. Naik pentas tu elok-elok.  Insya Allah kami akan menyusul. 

Buat yang berminat untuk menyertai bengkel penulisan tesis pantas & pengurusan artikel Mendeley boleh layari blog Dr OT di http://drotspss.blogspot.com.

Doakan kami ye.  

Assalamualaikum WBT.


Thursday 30 May 2013

Sepi Yang Membahagiakan

Assalamualaikum WBT dan Salam Inspirasi;

Sedikit nukilan di petang hari, semoga dapat memberi manfaat.

Sesekali sepi melanda jiwa,
Tatkala ditinggal bersendirian,
Tatkala terjaga di akhir malam,
Tatkala tiada siapa untuk bicara,
Tatkala isi alam berehat seketika.


Sepi yang dirasa menggores hati yang terdalam.
Meruntun hiba, terkesan di jiwa.
Sepi yang membuatkan hati tersedar,
Jiwa terjaga, hiba menjadi gembira,
Apabila sedar rasa sepi datang dari Dia Yang Maha Esa.


Remang yang datang petanda aku dekat dengan-Nya,
Sejuk terasa petanda aku khusyuk bersama-Nya,
Air mata deras petanda aku leka mengadu dengan-Nya,
Masa berlalu pantas di kala aku berbicara dengan-Nya.


Aku mohon pada-Mu, agar sering dapat aku merasai sepi ini,
Sepi yang mengukuh hubungan kita,
Terus bersama saling cinta-mencintai,
Menguatkan emosi serta hati spiritual,
Hanya kepada Engkau Maha Pencipta


Jangan Kau tinggal aku dalam kekelambutan dunia.


Norzura Ismail
30 Mei 2013
Di atas tikar petak

Tempat lahir lagi dikenang

Assalamualaikum WBT & Salam Inspirasi

Pagi Khamis yang indah, hari ini bermula dengan perjalanan menuju bandar Kuantan di Pahang Darul Makmur.  Bandar yang ternyata cantik, tenang dan sentiasa membahagiakan jiwa saya.  Tersimpan pelbagai kenangan manis di bandar Kuantan ini, bandar kelahiran saya.

Perjalanan mengambil masa hampir 3 jam lebih dan dipenuhi pemandangan hijau melata.  Tenang apabila melihat kehijauan di persekitaran lebuhraya Pantai Timur. Fikiran yang sering bermain saya, "Alangkah indahnya jika boleh diabadikan kecantikan pemandangan di atas kanvas lukisan." Situasinya, saya tidak pandai melukis. Hee.. Tetapi saya sering membayangkan diri saya berdiri di tepi jalan, bersama kanvas putih dan warna-warna air, tekun melukis tanpa menghiraukan lalu lintas yang sibuk. Adakah bayangan ini, suatu hari nanti bakal menjadi realiti?

Suami saya bergegas menuju ke cawangan Toyota di Tanah Putih, Kuantan untuk memulakan tugas beliau.  Saya kebiasaannya menghabiskan masa menunggu di ruang foyer sambil membaca atau menulis.

2 jam kemudian, dari kejauhan kelihatan suaminya tersengih riang menandakan tamatnya sesi konsultasi sebelah pagi. Oh ya, suami saya seorang 'Trainer' bahagian kualiti di UMW Toyota Motor.  Tugas beliau termasuk memberi ceramah tentang projek-projek berkaitan kualiti termasuklah 5S, Kaizen, Toyota Way, Quality Control dan banyak lagi. Beliau sering melawat cawangan-cawangan Toyota di seluruh Malaysia untuk memberi khidmat nasihat dan memantau prestasi cawangan. Saya suka tugas beliau, kerana secara tidak sedar beliau sering berkongsi ilmu dengan ramai orang.

Sejak saya berhenti kerja setahun lalu, saya sering mengikuti tugasan-tugasan luar beliau.  Pada jangkaan saya, setelah berhenti kerja tidak mungkin sekali peluang ini datang kerana kami telah kehilangan mata pencarian yang kedua. Tetapi, Maha Suci Allah, Dia Yang Maha Pengatur sekelian alam, aturan-Nya bagai sentiasa memberi peluang untuk saya 'bercuti' sambil-sambil menyediakan keperluan suami untuk bekerja.  Saya menggunakan peluang ini sebaiknya dengan berehat dan mencari idea-idea baru.

Di bandar Kuantan, pelbagai aktiviti boleh dibuat bersama keluarga seperti makan-makan, berkumpul dikedai-kedai ikan bakar, kedai makanan laut, bersantai, mandi-manda di pantai, sungai atau air terjun, membeli belah di kompleks membeli belah.  Kuantan menawarkan pelbagai aktiviti yang boleh dijalankan ditambahkan dengan kecantikan pemandangan bandar dan pantainya.

Pantai Teluk Cempedak

Kemesraan penduduk bandar Kuantan juga bakal menceriakan tetamunya. Pelbagai dialek bahasa yang dituturkan lebih menarik perhatian.  Saya sendiri kadang-kadang tidak memahami apa yang mereka tuturkan kerana lama tidak mendengar perkataan tertentu. Buat-buat faham jelah.. Hee.

Di bandar inilah saya dibesarkan. Banyak pengalaman ditimba di sini ketika kecil. Bibit-bibit cinta yang akhirnya berakhir dengan sebuah perkahwinan hingga kini juga bermula di Kuantan.  Kami tidak akan melepaskan peluang untuk melawati tempat-tempat yang menyimpan memori manis setiap kali pulang ke bandar Kuantan. Syukur kepada Allah atas peluang yang diberikan.

Antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati ialah Pantai Teluk Chempedak, Taman Gelora, Pantai Batu Hitam, Pantai Beserah, Air Terjun Panching & Sungai Lembing.  Pantai-pantai ini sangat sesuai untuk aktiviti berkelah, berenang bersama keluarga.  Lokasi menarik untuk membeli-belah pula antaranya ialah East Cost Mall, Megamall Kuantan, Kuantan Parade dan Kompleks Teruntum.

Lokasi tempat makan yang sedap-sedap ialah Nasi Minyak Tanjung Api Eida, Karipap Panas Taman Gelora, Ana Ikan Bakar, Restoran Patani, Jus Gelas Besar dan Wak Sofian Minang.  Ini antara kedai-kedai yang menepati selera saya apabila berkeinginan makan sata, otak-otak, keropok lekor, ikan bakar sambal, karipap panas, ikan patin masak tempoyak dan nasi minyak.  Sebenarnya banyak lagi tempat-tempat makan yang menarik di Kuantan seperti Mee Calong di Beserah, Murtabak di Raja di Stadium yang jarang dapat kami singgah kerana waktu yang tidak mengizinkan.

Pantai Taman Gelora

Subhanallah, pemandangan  di pantai-pantai sekitar bandar Kuantan sangat mengasyikkan. Tenang dan mendamaikan. Nikmat yang diberi oleh Allah SWT untuk menenangkan jiwa manusia secara semulajadi. Syukur atas nikmat dari - Nya.  

Melawat saudara-mara juga menjadi kebiasaan apabila pulang ke Kuantan. Apabila lama sudah tidak dapat bertemu, maka pelbagai cerita menceriakan suasana.  Ada cerita sedih, ada cerita gembira, yang pasti masing-masing melepaskan rindu dan terhibur melayan karenah kami.  Syukur Ya Allah kerana masih memberi kami masa bertemu saudara mara, jiran, rakan dan taulan.  

Terima Kasih Ya Allah.  Insya Allah kami akan pulang ke Shah Alam hari Sabtu ini. Kepada yang bercuti, SELAMAT BERCUTI. Luangkanlah masa menziarah saudara mara, rakan taulan atau sesiapa sahaja.  Gembirakan hati seseorang hari ini, pasti akan ada yang menggembirakan hari anda kelak. 

~ Catatan Hari Khamis minggu lepas ~




Tuesday 21 May 2013

Buat Sahabatku Juliana

Assalamualaikum WBT dan Salam Inspirasi;

Semoga Saudara dan Saudari sekelian sentiasa berada di dalam Rahmat Allah SWT.

Syukur atas rezeki Allah SWT semalam yang menemukan saya dengan rakan sekolah menengah di Sitiawan, Perak apabila Suami saya mempunyai tugas disana. Kesempatan ini diambil dengan sewajarnya, Subhanallah, pertemuan dengan rakanku ini bagaikan temujanji cinta pertama.

Tidak saya tahu kita boleh merasa perasaan bercinta ini selain dengan si Suami.  Ya Allah kedua-dua kami tidak keruan, serba agak sedikit kelam kabut kerana terlalu ghairah bercerita kisah pencarian makna kehidupan.  Sepanjang perjalanan pulang ke Shah Alam, aku mengelamun tersenyum bahagia kerana menemui jawapan kepada persoalan-persoalanku selama ini.

Allah Maha Kuasa dan Maha Penghimpun, persoalan terjawab melalui rakanku Juliana.

Juliana, seorang rakan yang saya kenali dari Tingkatan 4 di sekolah lama. Walaupun dulu kami tidak berapa rapat tetapi kini terasa seperti dia salah seorang adik beradik yang telah lama hilang dan kini bertemu kembali.  Kisah perjalanan hidupnya hampir menyerupai kisah kehidupanku membuatkan hubungan yang kami jalinkan terasa lebih akrab.

Juliana bekerja sebagai perunding di Prudential Assurance Malaysia Berhad.  Kagum melihatnya tabah mengasuh 3 orang hero-hero kecil dan pada sama bekerja sebagai perunding yang berjaya telah menjadikan beliau salah seorang sumber inspirasi bagi saya.  

Juliana antara rakan terawal yang memulakan pekerjaan yang memerlukan usaha diri sendiri untuk mencipta nama di dalam bidangnya.  Seperti saya, beliau pernah juga mengalami kejatuhan selepas berhenti kerja makan gajinya terdahulu. Pelbagai usaha diikhtiarkan untuk meningkatkan ekonomi keluarganya termasuklah membuka restoran.  Namun usaha-usahanya pada ketika itu tidak membuahkan hasil dan jauh sekali daripada restu ibunya.  

Akhirnya, Allah SWT menemukan beliau dengan kerjayanya sekarang setelah beliau diduga dengan situasi kesihatan anak yang kedua.  Sering sakit kerana antibodi yang lemah ketika itu, keadaan anak keduanya ini menyebabkan beliau berjinak-jinak di dalam bidang insurans. 

Bermula dengan kesedaran betapa pentingnya seseorang mempunyai insurans kesihatan, beliau tekad dan yakin niat murni untuk membantu ramai insan di kala mendapat dugaan kesihatan bakal mengubah hidupnya. Kini, kerjaya Juliana berkembang maju dan yang paling penting mendapat keredhaan ibunya.

Syukur pada Allah SWT, rezeki Juliana semakin melimpah ruah dan Insya Allah tidak lama lagi bakal bergelar seorang Pengurus dan memiliki kereta Mercedes C200. Segala hutang piutang lama telah langsai dan kini tujuan hidupnya pula adalah untuk membentuk ramai anak-anak muda yang berminat dengan kerjaya sepertinya.

Kawanku, Juliana mula memahami tujuan kehidupannya. Beliau dihantar oleh Allah SWT untuk membantu ramai orang yang memerlukan bantuan dikala diduga dengan cabaran kesihatan dan yang paling penting Juliana gembira  dan bersemangat melakukannya.

Sebagai seorang yang terlebih dahulu makan asam garam bekerja sendiri, Juliana banyak memberi nasihat kepada saya.  Banyak hikmah kejadian kami bincangkan dan Subhanallah terasa sekejap masa berlalu. Terasa seperti tenaga dalaman dicas sepenuhnya dan dipenuhi bintang-bintang ceria dan kegembiraan.

Pukul 4 petang, suami saya telah menyelesaikan tugasnya di pejabat cawangan Sitiawan dan maknanya tiba masa untuk saya berpisah dengan rakanku ini. Syukur Alhamdulillah, aku mohon Ya Allah SWT dapat lagi aku bertemu dengan rakan ku ini.  

"Ya Allah, Kau jagalah Juliana, Kau lindungilah dia dan keluarganya, Limpahkan nikmat rezeki dan rahmatMu kepadanya. Berikanlah Juliana ilmu yang bermanfaat dan nikmat kesihatan. Semoga rakanku ini dipertemukan bahagia kehidupan yang dicari. Semoga sama-sama kami menuntun titian Siratul Mustaqim terus ke Syurga FirdausiMu Ya Allah". Amin Ya Allah, Amin Ya Rabb.

Buat rakanku Juliana Jamni, ketahuilah bahawa dirimu adalah wanita yang sangat tabah, punya wawasan hidup dan seorang yang menceriakan dan membahagiakan orang lain.

Kenangan bersama sahabat baik Juliana Jamni, Rabiawati di Galeri Hana Gold tahun lalu

Saudara/i, sejak akhir-akhir ini saya sering memikirkan tujuan saya lahir ke dunia, mengapa saya diutus ke dunia, kemana tujuan akhir hidup saya dan pelbagai persoalan lagi.  Melalui pembacaan, perbincangan dan kursus-kursus yang saya hadiri, saya mendapat jawapan kepada persoalan saya. Di sini saya kongsikan serba sedikit jawapan yang saya temui.

Setiap manusia atau khalifah yang diturunkan di muka bumi ini pasti mempunyai tujuan tersendiri. Ketahuilah untuk menemui tujuan hidup masing-masing adalah sukar tetapi hakikat bahawa Saudara/i mempunyai keinginan untuk mencari tujuan hidup, ini bermakna ada tujuan untuk ditemui. 

Perjalanan mencari tujuan hidup adalah satu perjalanan yang panjang dan bakal menempuhi banyak kawasan rawat dan rehat, penuh misteri, halangan, cabaran sehingga kadangkala kita mungkin hampir berputus asa apabila menemui jalan mati. Tetapi jika seseorang itu sanggup melaluinya, belajar dari kesilapan memilih simpang-simpang kehidupan dan terus maju ke hadapan, seseorang itu bakal menemui tujuan dan destinasi akhir kehidupan mereka.

Mulakan pencarian tujuan hidup ini dengan bertanya dari hati dan berhati-hati dengan helah fikiran yang boleh memperdayakan. Sentiasa peka kepada petunjuk-petunjuk dari Allah Yang Maha Kuasa. Sesungguhnya Allah sentiasa memberi kita petunjuk dalam cara penuh unik dan penuh berhikmah.  

Contohnya, sejak akhir-akhir ini setiap cerita saya tonton pasti ada berkaitan dengan bidang penulisan. Ini seperti peringatan berkali-kali kepada saya bahawa inilah yang perlu saya buat. Dan perbincangan semalam, menunjukkan betapa penting restu ibu.

Jangan sesekali kita berputus asa.  Yakinlah setiap insan punyai destinasi hidup. Bagi kita yang beragama Islam pasti tujuan akhir adalah pulang ke kampung halaman iaitu Syurga Firdausi. Cuma bagaimana kita melalui perjalanan ini bakal menentukan destinasi akhir kita kelak. Sabar, tenang, sentiasa bersyukur dan hiduplah penuh bersemangat agar lama-kelamaan tujuan ini didedahkan kepada kita. 

Ya Allah aku amat bersyukur dipertemukan dengan rakanku ini dikala aku hampir berputus asa mencari tujuan hidupku. Syukur Alhamdulillah. 

P/S: Buku-buku yang saya baca antaranya ialah The Seed, Quantum Ikhlas Teknologi Aktivasi Kekuatan Hati, Bersyukur Saat Diuji dan Coaching Living Into Greatness.







Saturday 18 May 2013

SMILE, Kisah Yang Menginspirasikan Irma, saya dan pasti anda juga bakal tertawan

 Assalamualaikum WBT dan Salam Inspirasi;

Baru sahaja selesai membaca buku hasil nukilan Cik Puan Irma Hasmie dan Tuan Zamri Mohamad. Walhalnya buku ini sudah lama di pasaran dan yang saya beli ialah Cetakan kelima 2013.





Biar sedikit asal menjadi. Asal melekat di hati.

(S)kil di tangan, Insya Allah menjadi.
(M)otivasi jadi pendorong diri. Oh! Jangan lupa, pemberi.
(I)nspirasi.  Itulah sebab adanya Nabi.
(L)uar Biasa dan 
(E)legan sekali.

Siapa lagi kalau bukan pencetus SMILE setiap hari.
Itulah dirimu yang dirai.

Tertarik dengan kulit bukunya dan gaya penulisan, buku ini menggarapkan 16 kisah yang boleh dijadikan inspirasi kehidupan. Penulisan yang menggunakan kata-kata yang mengurut kalbu pasti menawan sesiapa sahaja yang membacanya termasuklah saya.

Kisah-kisah yang ditulis kadang-kadang mengejutkan hati saya. " Betul juga", "Ya lah", " Oh macam tuh" adalah respon-respon saya apabila membaca buku ini. Ringkas dan padat tetapi penuh pengajaran yang menginpirasikan si pembaca.  Antara kisah-kisah kegemaran saya adalah Diari Buruk yang Memuliakan, Meraikan Jemaah Syurga, Doa Siapakah yang Termakbul  dan Meja-meja Guru Kehidupan.

SMILE juga menyertakan kit-kit tindakan mudah agar apa yang diajar mudah dimanfaat dan dipraktikkan di dalam kehidupan harian. Pasti penulis bebas seperti saya sangat menghargai kit-kit tindakan untuk mencetus idea dan pemikiran kreatif. ; ) Saya telah menggunakan beberapa kit tindakan yang disertakan dalam agenda harian saya dan ternyata ia mudah diaplikasikan.

Antaranya ialah:




Dan yang paling gembira apabila Tuan Zamri Mohamad mengkhabarkan bahawa ada sambungan dari SMILE berkenaan seni berfikir dan kit-kit tindakan. Tidak sabar menunggu  edisi tersebut.



Turut disertakan kata-kata akhir bagaimana kuasa fitrah dapat memaksimumkan potensi diri dan mengekalkan perubahan positif dalam diri. Kembali kepada agama merupakan fitrah semulajadi manusia. Sikap rendah hati meninggikan kedudukan manusia disamping Allah yang Maha Esa. Ini semua bakal membantu mengubah diri dalaman dan luaran kita.

Insya Allah.


Firman Allah SWT

" Hadapkan wajahmu lurus kepada agama Allah.  Allah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itu agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."

(Surah Ar-Rum, ayat 30)

Buku ini banyak memberi konsep-konsep yang mudah yang terus boleh diaplikasikan untuk mengubah diri menjadi insan yang lebih bermakna. Tindakan-tindakan kecil yang bakal memberi kesan dalam kehidupan. Bak kata Cik Puan Irma, biar sedikit tetapi menjadi. Bagi saya idea-idea ini sangat mudah dan senang digunapakai. Saya suka!

Terima kasih dan tahniah kepada si penulis berdua, Cik Puan Irma Hasmie dan Zamri Mohamad atas hasil karya yang banyak memanfaatkan.

Terima kasih Ya Allah atas segala sumber inspirasi yang dicurahkan.

Syukur Ahamdulillah.




Syukur Ya Allah

Assalamualaikum WBT dan Salam Inspirasi;

Syukur Alhamdulillah kita masih dizinkan oleh-Nya untuk hidup dan menghirup udara segar di muka bumi yang penuh nikmat yang melata.

Syukur Alhamdulillah kesihatan kita semua dari hari ke hari semakin baik.

Syukur Alhamdulillah masih ada rezeki untuk kita di atas meja setiap hari.

Syukur Alhamdulillah masih ada peluang untuk kita membaiki diri menjadi insan bertakwa kepada Allah SWT

Syukur Alhamdulillah kita masih berpeluang mencurahkan dan merasai kasih sayang.

Syukur Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah.






Monday 13 May 2013

Filem Batman Begins, Dari Ketakutan Menjadi Kekuatan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Batman Begins, jika dahulu saya melihatnya sebagai satu filem yang berasaskan komik dan hanya untuk tujuan hiburan semata-mata. 


Hari ini, pandangannya berbeza.

Filem ini banyak mengajar cara untuk mengatasi ketakutan. Ketakutan sering membuatkan kita takut maju untuk ke hadapan, takut untuk berbuat sesuatu, takut ini, takut itu.


Bruce Wayne, bermula dengan ketakutan yang dihadapinya apabila jatuh kedalam lubang yang dalam dan kelawar berterbangan ketika kanak-kanak. 

Ketakutan yang sama yang menyebabkan ibu dan bapanya terbunuh dalam sebuah rompakan apabila Bruce Wayne meminta untuk pulang kerana teringat peristiwa kelawar berterbangan semasa menonton sebuah teater.

Pesanan terakhir bapanya,  " Don't be afraid", tetapi tanpa sedar ketakutan itu telah menyelubungi diri Bruce Wayne dari dalam ke luar. Ketakutannya berubah menjadi kemarahan dan dendam kepada si pembunuh ibubapanya. Nampak seperti kejadian yang mudah, tetapi memberi impak signifikan dalam kehidupan Bruce Wayne.

Kesepian, buntu, marah, geram kepada aturan dunia yang tidak adil membawa Bruce Wayne jauh dari kota Gotham, lari dari dunia, masyarakat dan diri sendiri hingga ke negeri China. Mencuri makanan, merompak akhirnya membawa Bruce Wayne ke penjara di sana. 

Ketakutan, kemarahan menguasai Bruce Wayne hinggakan ia memendamkan kesedihan yang keterlaluan.  Kesedihan yang menyebabkan segala kenangan dengan orang tersayang bagaikan racun dalam sanubari. Hinggakan satu hari, Bruce Wayne berharap yang orang disayangi tidak pernah ada supaya dirinya tidak terus menderita.

Bertemu seseorang yang mempunyai perspektif berbeza, Bruce Wayne diajar dan dilatih mengatasi ketakutan dan hidup bersama ketakutan secara positif dan akhirnya ketakutannya kepada si kelawar bertukar menjadi kekuatan dirinya yang juga ialah Batman.

Musuh kota Gotham dan Batman juga menggunakan faktor ketakutan untuk tujuan memusnahkan. Menggunakan sejenis bahan kimia yang disebarkan melalui air yang akan halusinasi imej-imej yang menakutkan hingga menimbulkan pergaduhan dan akhirnya memakan diri. Betapa kuatnya faktor ketakutan dalam diri, ia boleh digunakan sebagai kekuatan ataupun kelemahan, bergantung kepada diri sendiri.

Ini mungkin hanya di dalam filem semata-mata bagi sesetengah orang. Tetapi, ketakutan adalah faktor penting membentuk realiti kehidupan. Ramai insan yang masih dalam ketakutan dan tidak tahu bagaimana untuk maju ke hadapan. 

Saya sendiri punya ketakutan. Ketakutan melihat diri gagal, ketakutan untuk maju, ketakutan untuk berjaya dan macam-macam lagi. Seperti Bruce Wayne, ketakutan ini terbentuk semasa kita masih kecil dan kadang-kadang kita tidak menyedari ia membentuk perwatakan diri.

Di kursus Amazing Goal Praying anjuran Ummu AzzatFilzati, saya banyak belajar bagaimana untuk mengatasi ketakutan yang berlaku akibat masa lalu.  Beberapa teknik diperkenalkan agar saya dapat mengenalpasti ketakutan luar sedar yang saya bina dalam diri. Hingga hari ini, saya masih dalam proses mengenal diri saya masa lalu agar saya dapat menanam benih - benih subur untuk membentuk masa hadapan yang lain.  

Dengan izin Allah, saya memberi keizinan kepada diri saya untuk menjadi seseorang yang berguna kepada masyarakat seperti Bruce Wayne mungkin. Mungkin bukan super hero, tetapi memberi manfaat kepada masyarakat dalam bentuk penulisan. ; ) 

Bruce Wayne berjaya mengatasi ketakutan beliau dan menjadikannya kekuatan. Seperti Bruce Wayne, berilah peluang pada diri untuk menerokai dan mengatasi ketakutan diri. 

Maha Suci Allah, ini manfaat yang saya dapat apabila menonton Batman Begins. 

Syukur Alhamdulillah, kerana Allah SWT memberi saya peluang menerima siapa diri saya dahulu, membenarkan saya menanam benih- benih subur, membaja dan menyiram agar pokok saya membuahkan banyak hasil-hasil yang baik dan berkualiti (saya suka pertanian dan pernah bekerja di sebuah syarikat yang mengeluarkan minyak sawit, saya suka melihat bagaimana benih-benih sawit disemai penuh berhati-hati, anak-anak pokok ditanam dan dijaga penuh perhatian agar ia memberi 'yield' yang tinggi pada masa hadapan. Konsep yang sama boleh digunapakai untuk mendidik insan).

P/S: Jauhilah filem-filem seram, psiko dan sebagainya untuk mengelakkan ia membentuk ketakutan luar sedar dalam diri sendiri dan anak-anak.

Buat rakan-rakan Amazing Goal Praying, kisah Batman Begins memberi kesedaran berbeza kepada saya mengenai ketakutan.

Silalah menonton filem ini, ya, disiarkan di Astro Saluran HBO. 

Sunday 12 May 2013

Titisan Peluh Ibu Yang Berharga

Assalamualaikum WBT Dalam Salam Inspirasi,

Sekali lagi dengan izin-Nya dapat saya menulis di blog ini.

Sebuah kisah tentang insan bergelar IBU, EMAK, UMMI atau apa sahaja gelaran yang diberikan kepada wanita yang melahirkan, mendidik dan menjaga  insan-insan lain di dunia ini.

Tahun 1991

Seawal 6:30 pagi, kelihatan kelibat seorang ibu muda yang sedang sarat mengandung berbasikal tua membonceng anak perempuannya yang ke-empat. Ya, yang ke-empat dari tujuh orang adik beradik (termasuk yang didalam kandungan). Sukar digambarkan tetapi benar, kesemua anak ibu ini dilahirkan dirumah kediaman  mereka dengan hanya menggunakan perkhidmatan jururawat atau juga dikenali sebagai bidan kampung. Pengecualian buat si adik bongsu, yang ketika itu sedang berkembang aktif didalam rahim ibu muda ini yang dilahirkan di hospital besar berkemudahan lengkap.

Perjalanan dari rumah kediaman mereka ke sekolah anaknya mengambil masa 20 ke 30 minit, bergantung kepada kayuhan. Kayuhan ibu muda ini perlahan kerana sarat mengandung dan boncengannya, anak yang berusia 10 tahun, agak berisi dan tembam.   

Si anak tidak biasa bangun terlalu awal untuk ke sekolah, tersengguk- sengguk dan sering menguap sambil memeluk pinggang ibunya. Bagi si anak inilah kebiasaan, jika ayahnya tiada dirumah kerana tuntutan kerja. Tidak terlintas di fikiran si anak, kesusahan dan kepayahan seorang ibu yang sarat mengandung untuk mengayuh basikal dan membawa beban melebihi 25 kg. 

Kicauan burung, keadaan pagi yang masih gelap, sejuk, sedikit sebanyak mempengaruhi tempo kayuhan basikal. Tiba-tiba bunyi yang kuat kedengaran, si ibu muda dan si anak terjatuh ke atas jalan tar yang keras kerana tersentak dengan kejutan salakan anjing dan kedalaman lubang.

"Aduh!" jerit si anak. Ibu muda itu bangun dengan segera, mengangkat basikal dan anaknya. Tanpa sedikit pun menghiraukan kesakitan pada tubuhnya mahupun kandungannya ketika itu, yang dirisaukan hanya si anak yang didepan matanya. "Sakitkah? Luka?" Pertanyaan demi pertanyaan diajukan kepada si anak, penuh kasih sayang dan keprihatinan. 

Si anak menggeleng-geleng kepala menafikan rasa sakit akibat jatuh tadi. Jauh di dalam hati si anak, dia memikirkan betapa kasihan ibunya yang sarat mengandung itu terpaksa mengayuh dan jatuh pula kerana dirinya. Mujur kandungan ibu muda ini selamat walaupun jatuh terhentak kuat. Syukur.

Akhirnya basikal tua dituntun, kedua-dua mereka berjalan kaki ke sekolah. Si anak terus masuk ke laman sekolah, si ibu menggagahkan diri terus pulang ke rumah untuk meneruskan rutin harian menguruskan anak-anak lain dirumah. Ibu muda ini juga berniaga kecil-kecilan menjual nasi lemak untuk menampung perbelanjaan isi rumah. Tidak ada sebarang keluhan pernah diluahkan si ibu.  Sentiasa rajin, bekerja kuat dan tekun melakukan tugasan sebagai ibu dan juga peniaga. Maha Suci Allah.

Tahun 2013

Ya Allah, sungguh kuat semangat ibu ini. Jika saya, mungkin tidak menghantar anak ke sekolah, menangis, mungkin terus di masukkan ke wad atau segera memohon suami pulang ke rumah. Ibu ini juga sangat mementingkan pendidikan untuk anak-anaknya walaupun dihimpit situasi sukar.Tidak sekalipun terdetik untuk memberhentikan sekolah anak-anaknya kerana beliau yakin pendidikan bakal mengubah masa hadapan anak-anaknya. Pasti ibu ini seorang yang berjiwa besar dan benarlah, semangat dan kasih sayang seorang ibu tiada tolok tandingan. Seorang ibu sanggup membiarkan dirinya kesakitan, kelaparan dan kepenatan demi kebahagiaan, keselesaan anak-anaknya.  

Tiada balasan yang setimpal dapat diberikan  kepada si ibu yang boleh mengembalikan kesihatan, zaman muda, titik peluh, keseronokan hidup dan waktu beribadah yang hilang akibat menjaga dan mendidik anak-anak penuh kasih dan sayang. Tidak dengan wang ringgit, rumah, kereta, barang kemas atau apa sahaja yang hanya mampu mengaburi mata fizikal bekalan di dunia. Hanya doa dan kebaikan adalah balasan yang lebih kekal hingga ke akhirat.

Untuk Mak

" Mak sungguh besar jasa Mak. Setiap ibu ingin sekali melihat anak mereka berjaya. Mak, tolong doakan Ju berjaya dunia dan akhirat, ye. Doakan Ju menjadi insan yang berjaya dan cemerlang disisi Allah SWT. Doakan Ju bertemu mak, abah, suami dan semua ahli keluarga yang lain di Syurga Firdausi kelak. Ju sayang semua, tetapi bila dituturkan secara lisan, jarang sekali kedengaran indah kerana menjadi kebiasaan untuk tidak menuturkan rasa sayang sesama ahli keluarga. Ju mohon ampun dan maaf atas segalanya. Semoga Mak bertemu bahagia yang dicari. Selamat Hari Ibu, Mak."

Ju Sayang Mak dan Abah. 


" Sesungguhnya Allah S.W.T. mengasihi hamba-Nya yang mengasihi orang lain"

Wassalam. 

Friday 10 May 2013

Berserahlah Kepada Dia Yang Maha Esa


Berserahlah Kepada Dia Yang Maha Esa

Kepalaku pening, tubuhku panas
Pandangan kelam, sesekali berpinar-pinar
Hatiku sakit, terasa jiwaku parah,
Mana ubat yang paling bagus boleh aku makan wahai Tuan Doktor?

Mana mungkin aku seorang Doktor merawat tanda-tanda sakit ini?
Kepala yang pening, tubuh yang panas, pandangan kelam dan berpinar,
Ini mungkin, tetapi hati kau yang sakit, jiwa  kau yang parah,
Kau pasti hilang akal  jika berfikir aku Si Doktor boleh melakukan demikian.

Wahai Tuan Doktor, bukankah kau segala pakar perubatan,
Yang terbaik dikalangan yang terbaik,
Mengubati segala penyakit, tanganmu penuh Magis.
Penuh harapan dari pesakit kepada kamu Tuan Doktor.

Sakit dan parah hati serta jiwa kau ini bukan sesuatu untuk aku yang celik akal ini ubati,
Tetapi sakit dan parah kau ini hanya boleh diubati oleh orang yang celik mindanya,
Pergilah kau mencari alim ulama untuk membantu.

Wahai Anak Muda, apakah sakit kamu?
Apa yang kamu cari wahai Anak Muda?

Mana mungkin seorang tua berjubah dan berjanggut putih seperti kamu boleh mengubat sakit hati serta parah jiwaku ini?
Tidak perlu aku menjawab soalan si Tua ini.

Oh itu sakit kamu wahai Anak Muda,
Sakit hati serta parah jiwa,
Mudah benar ubatnya.

Pulanglah kau wahai Anak Muda,
Rawatlah hatimu dengan bacaan Al-Quran setiap hari,
Rawatlah jiwamu dengan selawat kepada junjungan besar Ya Rasulullah SAW,
Asingkan dirimu dari khalayak, tenangkan dirimu, sepikan dirimu,
Bacalah Zikrullah kepada Allah yang Maha Esa penuh tawaduk,
Ternyata tiada ubat yang paling mujarab,
Melainkan penyerahan bulat-bulat kepada Tuhan Yang Maha Esa,
Merintihlah, mengadulah, menangislah kepada-Nya
Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Dia Maha Melihat, Dia Maha Mengabulkan Doa.
Berdoalah kepadaNya,
Dengan izin-Nya kau akan sembuh.





20 Saat Keberanian

Assalamualaikum WBT dan Salam Inspirasi;

Kadang - kadang hanya 20 saat yang diperlukan untuk menyatakan niat atau impian kita pada seseorang. 20 saat ini mungkin menjadi 20 saat yang berani dan membahagiakan atau 20 saat yang memalukan.

Tapi siapa peduli jika ia 20 saat yang memalukan, ia hanya 20 saat, bukan?

Jadi jika anda benar-benar ingin menyampaikan sesuatu kepada seseorang terutamanya yang berkaitan dengan niat dan impian yang murni, teruskanlah.  Siapa tahu apa respon yang anda dapat melainkan Allah Yang Maha Mengetahui.

Orang sering bertanya kenapa ini, kenapa itu, kenapa bukan ini, kenapa bukan itu?

Jawapan saya, kenapa TIDAK?

Buatlah sesuatu yang bermakna dengan kehidupan kita agar ia menjadi sumber pendapatan kita di akhirat kelak.

Kejarlah impian anda selagi nyawa masih di jasad. Jangan biarkan ketakutan mengatasi segalanya. Langkau perasaan takut ini dengan pernyataan " Hanya 20 saat sahaja untuk aku ambil tindakan ini".  Moga-moga ia berakhir dengan 20 minit, 20 jam, 20 tahun ataupun 20 dekad yang membahagiakan.  Kita tidak tahu apa yang kita terlepas melainkan kita mencuba.

Jika anda betul-betul jatuh cinta tetapi malu untuk menyatakannya kepada si Dia yang istimewa, anda juga boleh menggunakan teknik ini.

Selamat Mencuba!

Tanpa Keberanian, Impian hanyalah sekadar mimpi yang indah.



Thursday 9 May 2013

Tulisan Blog Pertamaku.😃

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera;

Semoga anda sentiasa dirahmati dan disayangi.

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan kepada Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Setelah pelbagai desakan, pujukan, permainan perasaan dan petunjuk dari Allah Yang Maha Mengetahui, akhirnya saya memberanikan diri menulis di blog ini.

Jika diizinkan oleh-Nya, saya mengizinkan diri saya menulis dari hati terus ke hati Saudara/Saudari untuk berkongsi pengalaman dan kisah-kisah kehidupan yang banyak mengubah saya dari dalam sejak setahun lalu.  Banyak perkara saya telah lalui sejak setahun lalu yang memberi impak besar kepada diri saya. 

Terkesan secara positif dari peristiwa-peristiwa yang saya lalui, saya amat gembira jika dapat bersama-sama berkongsi cerita dan kisah kehidupan bersama anda semua.  Saya pasti ramai di luar sana juga mempunyai pengalaman dan kisah inspirasi yang ingin diceritakan. Insya Allah jika diberi peluang, kita sama-sama akan menulis di blog ini.

Semoga kisah-kisah ini memberi manfaat kepada kita semua. 

Ya Allah, aku memohon agar setiap insan yang membaca blog ini, diberikan ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan penawar bagi segala penyakit.

Amin. Terima kasih Ya Allah. Syukur.

Adik +Insyirah Azhar, Blog akak yang pertama. ; )