Thursday 30 May 2013

Tempat lahir lagi dikenang

Assalamualaikum WBT & Salam Inspirasi

Pagi Khamis yang indah, hari ini bermula dengan perjalanan menuju bandar Kuantan di Pahang Darul Makmur.  Bandar yang ternyata cantik, tenang dan sentiasa membahagiakan jiwa saya.  Tersimpan pelbagai kenangan manis di bandar Kuantan ini, bandar kelahiran saya.

Perjalanan mengambil masa hampir 3 jam lebih dan dipenuhi pemandangan hijau melata.  Tenang apabila melihat kehijauan di persekitaran lebuhraya Pantai Timur. Fikiran yang sering bermain saya, "Alangkah indahnya jika boleh diabadikan kecantikan pemandangan di atas kanvas lukisan." Situasinya, saya tidak pandai melukis. Hee.. Tetapi saya sering membayangkan diri saya berdiri di tepi jalan, bersama kanvas putih dan warna-warna air, tekun melukis tanpa menghiraukan lalu lintas yang sibuk. Adakah bayangan ini, suatu hari nanti bakal menjadi realiti?

Suami saya bergegas menuju ke cawangan Toyota di Tanah Putih, Kuantan untuk memulakan tugas beliau.  Saya kebiasaannya menghabiskan masa menunggu di ruang foyer sambil membaca atau menulis.

2 jam kemudian, dari kejauhan kelihatan suaminya tersengih riang menandakan tamatnya sesi konsultasi sebelah pagi. Oh ya, suami saya seorang 'Trainer' bahagian kualiti di UMW Toyota Motor.  Tugas beliau termasuk memberi ceramah tentang projek-projek berkaitan kualiti termasuklah 5S, Kaizen, Toyota Way, Quality Control dan banyak lagi. Beliau sering melawat cawangan-cawangan Toyota di seluruh Malaysia untuk memberi khidmat nasihat dan memantau prestasi cawangan. Saya suka tugas beliau, kerana secara tidak sedar beliau sering berkongsi ilmu dengan ramai orang.

Sejak saya berhenti kerja setahun lalu, saya sering mengikuti tugasan-tugasan luar beliau.  Pada jangkaan saya, setelah berhenti kerja tidak mungkin sekali peluang ini datang kerana kami telah kehilangan mata pencarian yang kedua. Tetapi, Maha Suci Allah, Dia Yang Maha Pengatur sekelian alam, aturan-Nya bagai sentiasa memberi peluang untuk saya 'bercuti' sambil-sambil menyediakan keperluan suami untuk bekerja.  Saya menggunakan peluang ini sebaiknya dengan berehat dan mencari idea-idea baru.

Di bandar Kuantan, pelbagai aktiviti boleh dibuat bersama keluarga seperti makan-makan, berkumpul dikedai-kedai ikan bakar, kedai makanan laut, bersantai, mandi-manda di pantai, sungai atau air terjun, membeli belah di kompleks membeli belah.  Kuantan menawarkan pelbagai aktiviti yang boleh dijalankan ditambahkan dengan kecantikan pemandangan bandar dan pantainya.

Pantai Teluk Cempedak

Kemesraan penduduk bandar Kuantan juga bakal menceriakan tetamunya. Pelbagai dialek bahasa yang dituturkan lebih menarik perhatian.  Saya sendiri kadang-kadang tidak memahami apa yang mereka tuturkan kerana lama tidak mendengar perkataan tertentu. Buat-buat faham jelah.. Hee.

Di bandar inilah saya dibesarkan. Banyak pengalaman ditimba di sini ketika kecil. Bibit-bibit cinta yang akhirnya berakhir dengan sebuah perkahwinan hingga kini juga bermula di Kuantan.  Kami tidak akan melepaskan peluang untuk melawati tempat-tempat yang menyimpan memori manis setiap kali pulang ke bandar Kuantan. Syukur kepada Allah atas peluang yang diberikan.

Antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati ialah Pantai Teluk Chempedak, Taman Gelora, Pantai Batu Hitam, Pantai Beserah, Air Terjun Panching & Sungai Lembing.  Pantai-pantai ini sangat sesuai untuk aktiviti berkelah, berenang bersama keluarga.  Lokasi menarik untuk membeli-belah pula antaranya ialah East Cost Mall, Megamall Kuantan, Kuantan Parade dan Kompleks Teruntum.

Lokasi tempat makan yang sedap-sedap ialah Nasi Minyak Tanjung Api Eida, Karipap Panas Taman Gelora, Ana Ikan Bakar, Restoran Patani, Jus Gelas Besar dan Wak Sofian Minang.  Ini antara kedai-kedai yang menepati selera saya apabila berkeinginan makan sata, otak-otak, keropok lekor, ikan bakar sambal, karipap panas, ikan patin masak tempoyak dan nasi minyak.  Sebenarnya banyak lagi tempat-tempat makan yang menarik di Kuantan seperti Mee Calong di Beserah, Murtabak di Raja di Stadium yang jarang dapat kami singgah kerana waktu yang tidak mengizinkan.

Pantai Taman Gelora

Subhanallah, pemandangan  di pantai-pantai sekitar bandar Kuantan sangat mengasyikkan. Tenang dan mendamaikan. Nikmat yang diberi oleh Allah SWT untuk menenangkan jiwa manusia secara semulajadi. Syukur atas nikmat dari - Nya.  

Melawat saudara-mara juga menjadi kebiasaan apabila pulang ke Kuantan. Apabila lama sudah tidak dapat bertemu, maka pelbagai cerita menceriakan suasana.  Ada cerita sedih, ada cerita gembira, yang pasti masing-masing melepaskan rindu dan terhibur melayan karenah kami.  Syukur Ya Allah kerana masih memberi kami masa bertemu saudara mara, jiran, rakan dan taulan.  

Terima Kasih Ya Allah.  Insya Allah kami akan pulang ke Shah Alam hari Sabtu ini. Kepada yang bercuti, SELAMAT BERCUTI. Luangkanlah masa menziarah saudara mara, rakan taulan atau sesiapa sahaja.  Gembirakan hati seseorang hari ini, pasti akan ada yang menggembirakan hari anda kelak. 

~ Catatan Hari Khamis minggu lepas ~




No comments:

Post a Comment