Thursday, 28 December 2017

Bersatu Dalam Kerinduan

Sudah lama sekali
aku rindui kamu
aku rindukan kamu
Oh amat rindu sekali
Rindu serindu-rindunya

Apa yang harus aku lakukan
Untuk mengubati rindu ini
aku rasa rapuh
aku rasa pudar
aku rasa kosong

Oh aku rindukan kamu
kau dekat tapi terasa jauh
Ingin sekali menyentuhmu
Ingin sekali fana bersamamu
Ingin sekali lebur dalam cintamu

Oh aku rindukan kamu
Jiwa dan raga tidak selari
Cuba merungkai rindu ini
Cuba merungkai cinta ini
Cuba merungkai rahsia kasih ini

Nyata aku lemah
Tidak berdaya
Rindu ini memakan diriku
Membuatkan aku merana
Hilang akalku
Terseksa mengugat jiwa
Oh hatiku hancur


Aku bukan aku yang dulu
Kuasa rindu ini mengubahku
Kepada jiwa dan raga
yang belum aku fahami
yang belum aku kenali
seperti orang asing yang baru kutemui

Oh betapa kuat kuasa rindu
Aku sayang kamu
Aku cinta kamu
Aku mendambakan satu kamu dan aku
Aku ingin saat kita berdua berdakapan
Dalam cintamu

Ohh Rindu.
Izinkan aku cair dalam pelukanmu
Hangat cinta menerangi jiwa
Sejuk raga tidak terasa
Hanya indah cantik terasa
Kerana aku telah bersatu
Bersatu dengan rasa rindu ini.

Terima kasih wahai rindu.

ZI, Kuala Lumpur
10:58pm

#cinta #rindu #spiritual #kasihsayang
#ZuraIsmail

Thursday, 21 May 2015

10 Tahun Tiada Anak, Puncanya ialah KETAKUTAN

Apabila saya mula memahami mengapa saya 'tidak dikurniakan zuriat selama 10 tahun perkahwinan"

Saya terkedu.

Rupa-rupanya selama ini saya diselebungi ketakutan.

Takut untuk punya anak. Asalnya, saya hanya takut untuk bersalin, apabila dikupas satu persatu, ketakutan saya berpunca dari,

Saya sangat ingin menjadi ibu yang baik. 

Mempunyai ramai adik-beradik, (7 orang semuanya dan jarak umur yang dekat) membuatkan ketika kecil saya melihat Mak saya kelam kabut menguruskan anak. 

Dan abah pula seorang pemandu di Pejabat Kerajaan sering tiada rumah kerana 'outstation' demi mencari rezeki yang halal.

Bayangkan 6 orang anak kecil membesar serentak, dan seorang dalam kandungan. Mak saya pula seorang peniaga nasi lemak. Terpaksa bangun seawal 3 pagi setiap hari, dan tidur lewat malam. Kadang-kadang, mengambil upah membuat kuih, membasuh, melipat dan menggosok baju untuk menambah pendapatan keluarga. Mak sering kelihatan penat dan tiada masa untuk dirinya sendiri. 

Tetapi Mak tetap mampu menguruskan rumahtangga. Mak masak setiap hari untuk Abah serta anak-anak. Rumah kami sentiasa bersih dan Mak tetap meluangkan masa dengan anak-anak menyiapkan kerja sekolah masing-masing.

Terima kasih Mak, untuk pengorbanan itu. Sangat berat tugas Mak. Tapi Mak tetap memberi dan melimpahkan kasih sayang tanpa sebarang syarat.

Mungkin Mak saya bahagia melakukannya. Dan saya tahu dia bahagia.

Tetapi pada kacamata saya tika kecil, kelihatan seperti menjadi ibubapa adalah satu perkara yang menyusahkan, membebankan dan sangat meletihkan.

Dan kesannya pada saya secara saya tidak sedar,

Saya takut untuk menjadi ibu!
Saya takut untuk melalui detik ibubapa!
Saya rasa saya tidak kuat seperti ibu saya untuk melaluinya!

dalam erti kata lain, SAYA TAKUT MENJADI DEWASA!

Sememangnya, saya kurang memikirkan untuk punya anak sepanjang 10 tahun perkahwinan, ada terlintas tetapi tidak terlalu merisaukan. Saya lebih terfokus kepada kerjaya dan pencarian ilmu.

Dan Sesungguhnya Allah mengikut sangkaan hambaNya.

Saya takut, maka Allah tahu saya tidak bersedia.

Tetapi apabila saya menemui punca yang sangat halus ini, saya mula mengucap syukur dengan pengalaman saya lalui. 

Kerana takut, saya mencari ilmu bagaimana untuk mendidik anak, kerana takut saya sentiasa mencuba menjadi ibu yang bertanggungjawab, kerana takut saya sering melihat contoh-contoh baik dalam pendidikan anak-anak.

Alhamdulillah, saya dikurniakan seorang anak yang comel. Dan setakat hari ini, saya mampu melimpahkan kasih sayang buat Baby Syakur. Saya cuba melakukan terbaik buat Baby Syakur. Dan saya tahu, saya buat terhabis baik Baby Syakur.

Semua tetap atas izin Dia. Allah lebih mengetahui segalanya.

Kadang-kadang, tersirat benar ketakutan kita itu. Sangat tersirat, sehinggakan kita tidak sedar ketakutan ini membentuk pendirian hati kita.

Saya mula mempelajari dan mengenali sisi gelap diri saya, apabila sahabat saya Cik Puan Diyana Tahir, berkongsi bagaimana mengenali ketakutan dalam diri, puncanya dan cara mengatasinya. Alhamdulillah, benar segala impian kita akan tercapai apabila kita mengatasi satu persatu ketakutan yang kita ada.

Sehingga hari ini, saya masih ada ketakutan dan masih belajar cara melaluinya. Bezanya, saya lebih sedar, saya takut dan mengambil tindakan. Dan, saya sangat bersyukur kerana melalui pengalaman-pengalaman ini.

Buat sahabat-sahabat yang ingin sama turut serta untuk dibantu mengenali ketakutan dan mempelajari bagaimana untuk mengatasinya sila  klik bit.ly/shtakut   utk daftar secara Webinar Soal Hati Siri 3 secara PERCUMA.





"Izinkan diri anda mengenali ketakutan dan mengatasinya kerana IMPIANmu lebih besar dari segalanya"

Sayang selalu,
Zura Ismail​

Monday, 13 April 2015

Telinga dan Infeksi, Bersyukurku Atas NikmatMu

Wajahku menahan sakit, masih tersenyum lebar hehe...

Telinga dan Infeksi, Bersyukurku atas nikmatMu
===================================

Sudah masuk hari ke-7 hari ini, telinga kananku dijangkiti kuman.

Hari Pertama dirasakan seperti bengkak didalam telinga. Di fikiran, terbayangkan jerawat yang tumbuh di dalam. Kesakitannya masih boleh ditanggung, jadi meneruskan sahaja kelas Hypnosis For Coach seperti biasa.

Hari kedua, rasa berdenyut-denyut semakin kuat. Dan, hari yang sangat kelam kabut buat saya. Syukur, perjalanan pergi dan pulang untuk menuntut ilmu HFC lancar.

Tetapi, pengalaman tersekat di ruang tangga kecemasan, 'homework tak siap', mencari kereta di parking tak jumpa, rumah blackout dsb menambah kekalutan. Namun, sempat ke klinik biasa untuk pemeriksaan dan ubat kerana kesakitan semakin bertambah dan tubuh mula menggeletar akibat suhu mulai naik.

Hari ketiga, terjaga lewat dari tidur kerana kesakitan telinga yang teramat hingga sukar melelapkan mata beberapa jam. Bayangan di fikiran, sakitnya seperti dicucuk dengan pemecah ais didalam telinga, dan berdenyut-denyut sekuat denyutan jantung. (Dramatik kan... fikiran, fikiran..) Kesakitan agak reda, di pagi itu, tetapi kembali kuat sebelum kelas berakhir.

Makan tengahari sepi, saya berdiam kerana hanya boleh satu perkara satu masa. Samaada bercakap, makan, minum kerana kesakitan terasa setiap kali mengunyah makanan. Fokus makan, solat dan terus ke sesi 'photoshoot'. Sedar tak sedar kesakitan hilang mungkin kerana ubat, mungkin juga seronok ber'photoshoot'. (Hehe, nak kena buat selalulah camni). Tidur, malam itu juga tidak lena kerana kesakitan kembali.

Hari ke- empat hingga ke-enam.

Sakit masih ada. 2 kali sehari. Kesakitan sangat memuncak selama hampir 2-3 jam dan waktu berikutnya lega. Pendengaran semakin kurang jelas dan percakapan saya juga semakin perlahan. (kadang-kadang cakap sorang rupanya.. hehe..)


Teringat pesan Doktor untuk kembali ke klinik jika sakit masih berterusan selepas 3 hari mengambil antibiotik.. Ting..Ting.. Ting.. dah lebih 3 hari pun.. Misi mencari klinik pakar ENT bermula... Satu di Ampang, tutup. di Subang, tutup, Shah Alam, tutup. Klang, tutup.. Puchong juga tutup.

Ada satu buka hari Ahad, sekali di Johor Bahru. Aduhai.. Rupanya, kritikal juga klinik pakar ENT ni. jadi terpaksalah menahan kesakitan. Menggunakan teknik hipnosis untuk penyembuhan, sakitnya sedikit kurang dan semalam tidur sangat lena.

Pagi tadi, pergi ke DEMC dan dirawat oleh Dr Razak, pakar ENT. Gegendang sebelah kanan sudah dijangkiti kuman dari luar dan dalam. Dari luaran, akibat habit yang suka sangat mengorek telinga selepas mandi. Dari dalaman, berpunca dari selsema berpanjangan, hingga sering tersumbat dan akhirnya kuman memasuki telinga.

Senyum sahaja saya mendengarnya. Betul, betul dan betul.. Tiada penafian.

Telinga kanan dicuci dan diletakkan ubat. Doktor turut membekalkan ubat untuk seminggu dan diminta kembali bertemujanji dengan beliau. Jika pendengaran tidak pulih, kemungkinan perlu melakukan pembedahan untuk membersih gegendang dan saluran tersumbat.

Mulalah ketakutan menguasai fikiran. Tetapi, hati tetap tenang dan bersahaja.

Terima kasih Ya Allah atas kesakitan ini. Ia mengingatkan untuk terus bersyukur atas nikmat pendengaran yang selama ini baik dan sangat membantuku.

Terima kasih kerana membenarkan ku melihat dan mengenali bahagian dalaman telinga dan hidungku.

Terima kasih kerana membenarkan ku mampu tersenyum walaupun kesakitan yang teramat.

Terima kasih kerana menyedarkan ku bahawa aku insan yang kuat menghadapi dugaan ini.

Terima kasih kerana menghadirkan insan-insan hebat untuk membantu penyembuhan ku.

Terima kasih kerana apabila aku tidak dengar, aku banyak berdiam, hening dan menyedari banyak hakikat dalam hidupku.

Terima kasih. Syukur. Alhamdulillah.

P/S: Menulis seperti watak feminin, yang mahu didengari.. hehe.. kalau tak faham takpe...

Nota untuk diri sendiri: Segera ambil tindakan jika tubuh fizikalmu memberi isyarat-isyarat memerlukan perhatian, ye sayang... ; )

Ini baru sakit fizikal. Betapa kesakitan yang sedikit memberi impak yang kuat. Kadang-kadang naik marah, sedih, geram apabila menghadapi sakit fizikal. Ada ketika sabar, tenang melaluinya.


Jadi bayangkan kesakitan yang dialami secara mental, tersimpan, tidak kelihatan. Jika kesakitan akibat emosi ini tidak dirawat, ia bakal mencetuskan pelbagai kesakitan lain dimasa kini dan masa hadapan. Jadi, berilah perhatian apabila diri anda sering berasa tidak tenang, senang marah, senang sentap atau sedih. Mungkin ada pengalaman -pengalaman lalu yang perlu dirawat?

Fikir, fikirkan. Tanyalah hati.

Semoga sahabat sekelian selamat, bahagia dan disayangi.

Sahabat hati anda.

Zura Ismail

Thursday, 31 October 2013

Menulis... Perlu Pedoman

Assalamualaikum WBT & Salam Inspirasi untuk semua,

Hari ini hari Jumaat, penghulu segala hari.

Buat rakan-rakan yang telah selesai menunaikan solat Jumaat, syukur Alhamdulillah.

Sekian lama tidak menulis di blog ini.

Sering diuji perasaan gentar, takut dan bertangguh untuk menulis.

Bimbang perkara yang ditulis bukan dari hati dan dengan tujuan selain memberi manfaat kepada insan lain.

Begitulah ujian Allah SWT kepada hati manusia. Namun hatiku ini hanya ingin berkongsi cerita dan pengalaman hidup yang bermakna. Perkara baik boleh dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Ya Allah di hari Jumaat yang mulia ini, hamba-Mu ini memohon kekuatan untuk menulis dari hati, terus difahami oleh pembaca juga ke dalam hati mereka. 

Aku mohon Ya Allah, agar penulisanku memberi manfaat kepada ramai insan di luar sana. Aku juga mohon Ya Allah agar pembaca sekelian dapat mencontohi teladan baik dari kisah yang aku kongsikan.

Tiada tempat aku bermohon melainkan Engkau Ya Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana, aku berhajat dianugerahkan idea-idea penulisan yang bernas agar dapat dijadikan contoh dan pedoman. 

Penulisan hamba-Mu hanya bertujuan memberi kebaikan dan manfaat bersama.

Amin Ya Rabb.

Aku mohon dari -Mu Ya Allah agar ia menjadi realiti.

Thursday, 5 September 2013

Video Editing Pertamaku

Assalamualaikum WBT & Salam Inspirasi untuk semua,

Ini antara video cubaan pertama yang saya edit sendiri.

Banyak kali saya bercadang-cadang untuk memuatnaik video ini, tapi segan...

Hee, pelajaran mengedit video dipelajari dari Sifu Puan Diyana Tahir.

Hampir setahun sudah mempelajarinya dan banyak kali cubaan video pertama, dan akhirnya saya mengambil keputusan inilah video pertama.

Akhirnya.. Inspirasi dari Filem "Cheaper By The Dozen 2".

Hasil pertama inspirasi untuk banyak lagi video yang bakal dihasilkan.

Insya Allah.


Thursday, 4 July 2013

Perjalanan Mencari Tujuan Hidup


Hidup tanpa tujuan ibarat kereta yang dipandu tanpa destinasi. Nak pergi sana tak jadi, nak pergi sini tak kisah, nak berhenti tepi bosan pulak. Hasilnya kehabisan minyak, perut keroncong dan kadang-kadang masam muka dengan si dia.

Tetapi jika dari awal sudah tahu destinasi yang hendak dituju, kita sudah dapat menjangka apa yang bakal kita lalui sepanjang perjalanan, tempoh perjalanan, kawasan rehat, tempat - tempat menarik dan yang paling penting pengisian sepanjang perjalanan.

Serupa dengan sebuah perjalanan menuju destinasi, kehidupan juga perlu ada tujuan. Teringat seorang bekas rakan sekerja pernah menyatakan pada saya, " Engkau ni bukan apa, kau dah jumpa cahaya di hujung terowong, tahniah". Ini yang dinyatakan beliau apabila saya mengambil keputusan berhenti kerja untuk fokus kepada pengajian saya. Secara jujurnya, pada ketika itu, saya kurang memahami perjalanannya, tetapi sedikit demi sedikit rahsia perjalanan ini didedahkan oleh Allah SWT. Syukur, saya mula hidup dengan mengisi hidup dengan tujuan hidup yang sebenar dan sememangnya ia menimbulkan rasa kebahagiaan dalam hati dan jiwa. 

Tanpa tujuan hidup kita menjadi tidak bermakna, kosong, meraba-raba dalam kegelapan. Bukankah Allah SWT menurunkan setiap insan dengan tujuan menjadi khalifah di muka bumi ini? 

Persoalannya bagaimana? 

Adakah anda sudah berjumpa dengan tujuan hidup anda?

Jangan sesekali berputus asa dalam pencarian ini. Setiap insan di dunia ini ditakdirkan melakukan sesuatu yang baik dan mulia sebagai tujuan hidup mereka.  Ketahuilah jika anda sudah mula mencari makna kehidupan anda, ini bermaksud tujuan hidup anda memang dimaksudkan untuk ditemui. 

Teruskan mencari, sentiasa hidup dari saat ke saat penuh penghayatan dan hargai setiap nikmat yang diberi oleh-Nya. Dengan bantuan dari Allah SWT Insya Allah kita akan bertemu dengan tujuan hidup kita. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT untuk petunjuk dalam kehidupan.

Sesungguhnya, hidup adalah satu perjalanan destinasi akhir iaitu kembali kepada keagungan Illahi. 

Amin.

Friday, 28 June 2013

Dr OT, Bengkel Tulis Tesis Cepat & UIA

Assalamualaikum WBT dan Salam Inspirasi;


Sudah lama tidak menitip idea di blog ini. Projek ilmiah tahun akhir termasuklah urusan mencari kerja sentiasa mengisi hari-hari yang dilalui sehingga terlupa akan blog ini.  Maaf ya, inilah akibat cubaan saat-saat akhir untuk menyelesaikan projek ini sebelum hujung bulan September. Insya Allah bergraduasi Disember ini. Amin.

Keazaman yang kuat membuatkan saya mencari pelbagai sumber agar dapat segera menyiapkan projek ilmiah ini dan akhirnya dengan izin-Nya saya bertemu Cik Puan Nor Abeerah yang memperkenalkan saya dengan Mendeley dan Dr OT. Mendeley? Apa itu? Dr OT? Siapa beliau? 

Mendeley bukanlah satu permainan, kuih, atau apa sahaja yang Tuan-Tuan dan Cik Puan-Cik Puan fikirkan.  Mendeley sebuah aplikasi yang diperkenalkan untuk membantu pelajar-pelajar Phd dan Master menguruskan artikel dan menulis rujukan dengan mudah. Memang mudah dan menyenangkan, sesuai dengan personaliti Dr OT yang mengajar pelajar-pelajar beliau menggunakan aplikasi di Bengkel Penulisan Tesis Pantas & Pengurusan Artikel Mendeley.

Dr OT pula, pada mulanya saya sangka beliau berketurunan India kerana semua guru atau pensyarah yang saya temui yang mengajar subjek 'Research Method' berketurunan India.  Dr OT atau juga dikenali sebagai Dr Othman Talib seorang pensyarah yang banyak menganjurkan bengkel penulisan 'thesis' cepat. Beliau sendiri berjaya menyiapkan Phd beliau dalam tempoh 1 tahun 10 bulan dalam bidang animasi pendidikan kimia di Australia dan menerima pelbagai anugerah. Bangga betul dengan beliau. 


Bersama Dr Othman Talib, seorang yang kelakar dan santai orangnya

 
" Kenapa tulis tesis ni senang sangat?" antara penyataan beliau yang membuatkan hati saya membara. Saya tersangkut di peringkat menyiapkan projek ilmiah akhir ini sejak 2 tahun lalu. Segala kerja kursus dan peperiksaan telah diselesaikan, hanya tinggal projek ilmiah ini sahaja lagi. Dari hari ke hari, dari bulan ke bulan, dari tahun ke tahun, masih belum disiapkan.  Sudah 3 kali saya bertukar tajuk. Aduhai. 

Bengkel anjuran Dr OT di UIA semalam banyak mengajar saya menguruskan projek ilmiah ini. Sehingga bagaimana ingin membuat isi kandungan pun diajar. Tak sampai 5 saat pun. Terkedu saya melihat apa yang Dr OT ajar. Bukan apa, selama ini saya 'ingatkan' saya sudah peringkat tertinggi pengguna Ms Word rupanya masih ditahap kanak-kanak kecil. Huhu..

Bukan itu sahaja, banyak lagi tips dan muslihat yang diajar. Muslihat yang baik tau, yang membantu sangat pelajar-pelajar Master atau PhD yang sangkut di tengah jalan.  Zero Draft Of Thesis (ZDOT - 3 minit je dah siap), Filtering Based On Themes (FBOT) dan Speed Reading On Target (SROT) antara teknik best yang diperkenalkan. Memang terbaik. Hee.. Tergelak sendiri mengenangkan konon-konon 'kebijaksanaan' diri sendiri yang sebenarnya memakan diri. Ini yang dikatakan malu bertanya sesat jalan. Hee..

Dr OT turut menyelitkan sedikit sebanyak kisah asam garam penyelidikan di Malaysia. Memang banyak yang pahit tetapi ada juga yang manis. Dan yang paling manis kenangan di atas pentas saat menerima Ijazah Kedoktoran. Semoga menjadi realiti. Amin.

Ya Allah izinkan hamba-Mu dan Suamiku menyiapkan projek akhir ini dan meneruskan pengajian ke peringkat PhD. Lokasi bengkel di UIA sedikit sebanyak mengimbau kenangan di Kota Suci Mekah awal tahun ini.  Sangat menenangkan dan mendamaikan. Seronok juga jika dapat belajar di UIA. Hee.. Mujur pihak penganjur Hjh Azizah dari D'Anna Infotech Solutions menjalankan bengkel disini. Terasa sedikit seperti pelajar UIA. 

Tahniah diucapkan buat rakan-rakan di Management & Science University yang bakal menerima Ijazah Sarjana Perniagaan esok. Naik pentas tu elok-elok.  Insya Allah kami akan menyusul. 

Buat yang berminat untuk menyertai bengkel penulisan tesis pantas & pengurusan artikel Mendeley boleh layari blog Dr OT di http://drotspss.blogspot.com.

Doakan kami ye.  

Assalamualaikum WBT.