Assalamualaikum WBT dan Salam Inspirasi;
Semoga Saudara dan Saudari sekelian sentiasa berada di dalam Rahmat Allah SWT.
Syukur atas rezeki Allah SWT semalam yang menemukan saya dengan rakan sekolah menengah di Sitiawan, Perak apabila Suami saya mempunyai tugas disana. Kesempatan ini diambil dengan sewajarnya, Subhanallah, pertemuan dengan rakanku ini bagaikan temujanji cinta pertama.
Tidak saya tahu kita boleh merasa perasaan bercinta ini selain dengan si Suami. Ya Allah kedua-dua kami tidak keruan, serba agak sedikit kelam kabut kerana terlalu ghairah bercerita kisah pencarian makna kehidupan. Sepanjang perjalanan pulang ke Shah Alam, aku mengelamun tersenyum bahagia kerana menemui jawapan kepada persoalan-persoalanku selama ini.
Allah Maha Kuasa dan Maha Penghimpun, persoalan terjawab melalui rakanku Juliana.
Juliana, seorang rakan yang saya kenali dari Tingkatan 4 di sekolah lama. Walaupun dulu kami tidak berapa rapat tetapi kini terasa seperti dia salah seorang adik beradik yang telah lama hilang dan kini bertemu kembali. Kisah perjalanan hidupnya hampir menyerupai kisah kehidupanku membuatkan hubungan yang kami jalinkan terasa lebih akrab.
Juliana bekerja sebagai perunding di Prudential Assurance Malaysia Berhad. Kagum melihatnya tabah mengasuh 3 orang hero-hero kecil dan pada sama bekerja sebagai perunding yang berjaya telah menjadikan beliau salah seorang sumber inspirasi bagi saya.
Juliana antara rakan terawal yang memulakan pekerjaan yang memerlukan usaha diri sendiri untuk mencipta nama di dalam bidangnya. Seperti saya, beliau pernah juga mengalami kejatuhan selepas berhenti kerja makan gajinya terdahulu. Pelbagai usaha diikhtiarkan untuk meningkatkan ekonomi keluarganya termasuklah membuka restoran. Namun usaha-usahanya pada ketika itu tidak membuahkan hasil dan jauh sekali daripada restu ibunya.
Akhirnya, Allah SWT menemukan beliau dengan kerjayanya sekarang setelah beliau diduga dengan situasi kesihatan anak yang kedua. Sering sakit kerana antibodi yang lemah ketika itu, keadaan anak keduanya ini menyebabkan beliau berjinak-jinak di dalam bidang insurans.
Bermula dengan kesedaran betapa pentingnya seseorang mempunyai insurans kesihatan, beliau tekad dan yakin niat murni untuk membantu ramai insan di kala mendapat dugaan kesihatan bakal mengubah hidupnya. Kini, kerjaya Juliana berkembang maju dan yang paling penting mendapat keredhaan ibunya.
Syukur pada Allah SWT, rezeki Juliana semakin melimpah ruah dan Insya Allah tidak lama lagi bakal bergelar seorang Pengurus dan memiliki kereta Mercedes C200. Segala hutang piutang lama telah langsai dan kini tujuan hidupnya pula adalah untuk membentuk ramai anak-anak muda yang berminat dengan kerjaya sepertinya.
Kawanku, Juliana mula memahami tujuan kehidupannya. Beliau dihantar oleh Allah SWT untuk membantu ramai orang yang memerlukan bantuan dikala diduga dengan cabaran kesihatan dan yang paling penting Juliana gembira dan bersemangat melakukannya.
Sebagai seorang yang terlebih dahulu makan asam garam bekerja sendiri, Juliana banyak memberi nasihat kepada saya. Banyak hikmah kejadian kami bincangkan dan Subhanallah terasa sekejap masa berlalu. Terasa seperti tenaga dalaman dicas sepenuhnya dan dipenuhi bintang-bintang ceria dan kegembiraan.
Pukul 4 petang, suami saya telah menyelesaikan tugasnya di pejabat cawangan Sitiawan dan maknanya tiba masa untuk saya berpisah dengan rakanku ini. Syukur Alhamdulillah, aku mohon Ya Allah SWT dapat lagi aku bertemu dengan rakan ku ini.
"Ya Allah, Kau jagalah Juliana, Kau lindungilah dia dan keluarganya, Limpahkan nikmat rezeki dan rahmatMu kepadanya. Berikanlah Juliana ilmu yang bermanfaat dan nikmat kesihatan. Semoga rakanku ini dipertemukan bahagia kehidupan yang dicari. Semoga sama-sama kami menuntun titian Siratul Mustaqim terus ke Syurga FirdausiMu Ya Allah". Amin Ya Allah, Amin Ya Rabb.
Buat rakanku Juliana Jamni, ketahuilah bahawa dirimu adalah wanita yang sangat tabah, punya wawasan hidup dan seorang yang menceriakan dan membahagiakan orang lain.
Kenangan bersama sahabat baik Juliana Jamni, Rabiawati di Galeri Hana Gold tahun lalu
Saudara/i, sejak akhir-akhir ini saya sering memikirkan tujuan saya lahir ke dunia, mengapa saya diutus ke dunia, kemana tujuan akhir hidup saya dan pelbagai persoalan lagi. Melalui pembacaan, perbincangan dan kursus-kursus yang saya hadiri, saya mendapat jawapan kepada persoalan saya. Di sini saya kongsikan serba sedikit jawapan yang saya temui.
Setiap manusia atau khalifah yang diturunkan di muka bumi ini pasti mempunyai tujuan tersendiri. Ketahuilah untuk menemui tujuan hidup masing-masing adalah sukar tetapi hakikat bahawa Saudara/i mempunyai keinginan untuk mencari tujuan hidup, ini bermakna ada tujuan untuk ditemui.
Perjalanan mencari tujuan hidup adalah satu perjalanan yang panjang dan bakal menempuhi banyak kawasan rawat dan rehat, penuh misteri, halangan, cabaran sehingga kadangkala kita mungkin hampir berputus asa apabila menemui jalan mati. Tetapi jika seseorang itu sanggup melaluinya, belajar dari kesilapan memilih simpang-simpang kehidupan dan terus maju ke hadapan, seseorang itu bakal menemui tujuan dan destinasi akhir kehidupan mereka.
Mulakan pencarian tujuan hidup ini dengan bertanya dari hati dan berhati-hati dengan helah fikiran yang boleh memperdayakan. Sentiasa peka kepada petunjuk-petunjuk dari Allah Yang Maha Kuasa. Sesungguhnya Allah sentiasa memberi kita petunjuk dalam cara penuh unik dan penuh berhikmah.
Contohnya, sejak akhir-akhir ini setiap cerita saya tonton pasti ada berkaitan dengan bidang penulisan. Ini seperti peringatan berkali-kali kepada saya bahawa inilah yang perlu saya buat. Dan perbincangan semalam, menunjukkan betapa penting restu ibu.
Jangan sesekali kita berputus asa. Yakinlah setiap insan punyai destinasi hidup. Bagi kita yang beragama Islam pasti tujuan akhir adalah pulang ke kampung halaman iaitu Syurga Firdausi. Cuma bagaimana kita melalui perjalanan ini bakal menentukan destinasi akhir kita kelak. Sabar, tenang, sentiasa bersyukur dan hiduplah penuh bersemangat agar lama-kelamaan tujuan ini didedahkan kepada kita.
Ya Allah aku amat bersyukur dipertemukan dengan rakanku ini dikala aku hampir berputus asa mencari tujuan hidupku. Syukur Alhamdulillah.
P/S: Buku-buku yang saya baca antaranya ialah The Seed, Quantum Ikhlas Teknologi Aktivasi Kekuatan Hati, Bersyukur Saat Diuji dan Coaching Living Into Greatness.
No comments:
Post a Comment