Thursday 21 May 2015

10 Tahun Tiada Anak, Puncanya ialah KETAKUTAN

Apabila saya mula memahami mengapa saya 'tidak dikurniakan zuriat selama 10 tahun perkahwinan"

Saya terkedu.

Rupa-rupanya selama ini saya diselebungi ketakutan.

Takut untuk punya anak. Asalnya, saya hanya takut untuk bersalin, apabila dikupas satu persatu, ketakutan saya berpunca dari,

Saya sangat ingin menjadi ibu yang baik. 

Mempunyai ramai adik-beradik, (7 orang semuanya dan jarak umur yang dekat) membuatkan ketika kecil saya melihat Mak saya kelam kabut menguruskan anak. 

Dan abah pula seorang pemandu di Pejabat Kerajaan sering tiada rumah kerana 'outstation' demi mencari rezeki yang halal.

Bayangkan 6 orang anak kecil membesar serentak, dan seorang dalam kandungan. Mak saya pula seorang peniaga nasi lemak. Terpaksa bangun seawal 3 pagi setiap hari, dan tidur lewat malam. Kadang-kadang, mengambil upah membuat kuih, membasuh, melipat dan menggosok baju untuk menambah pendapatan keluarga. Mak sering kelihatan penat dan tiada masa untuk dirinya sendiri. 

Tetapi Mak tetap mampu menguruskan rumahtangga. Mak masak setiap hari untuk Abah serta anak-anak. Rumah kami sentiasa bersih dan Mak tetap meluangkan masa dengan anak-anak menyiapkan kerja sekolah masing-masing.

Terima kasih Mak, untuk pengorbanan itu. Sangat berat tugas Mak. Tapi Mak tetap memberi dan melimpahkan kasih sayang tanpa sebarang syarat.

Mungkin Mak saya bahagia melakukannya. Dan saya tahu dia bahagia.

Tetapi pada kacamata saya tika kecil, kelihatan seperti menjadi ibubapa adalah satu perkara yang menyusahkan, membebankan dan sangat meletihkan.

Dan kesannya pada saya secara saya tidak sedar,

Saya takut untuk menjadi ibu!
Saya takut untuk melalui detik ibubapa!
Saya rasa saya tidak kuat seperti ibu saya untuk melaluinya!

dalam erti kata lain, SAYA TAKUT MENJADI DEWASA!

Sememangnya, saya kurang memikirkan untuk punya anak sepanjang 10 tahun perkahwinan, ada terlintas tetapi tidak terlalu merisaukan. Saya lebih terfokus kepada kerjaya dan pencarian ilmu.

Dan Sesungguhnya Allah mengikut sangkaan hambaNya.

Saya takut, maka Allah tahu saya tidak bersedia.

Tetapi apabila saya menemui punca yang sangat halus ini, saya mula mengucap syukur dengan pengalaman saya lalui. 

Kerana takut, saya mencari ilmu bagaimana untuk mendidik anak, kerana takut saya sentiasa mencuba menjadi ibu yang bertanggungjawab, kerana takut saya sering melihat contoh-contoh baik dalam pendidikan anak-anak.

Alhamdulillah, saya dikurniakan seorang anak yang comel. Dan setakat hari ini, saya mampu melimpahkan kasih sayang buat Baby Syakur. Saya cuba melakukan terbaik buat Baby Syakur. Dan saya tahu, saya buat terhabis baik Baby Syakur.

Semua tetap atas izin Dia. Allah lebih mengetahui segalanya.

Kadang-kadang, tersirat benar ketakutan kita itu. Sangat tersirat, sehinggakan kita tidak sedar ketakutan ini membentuk pendirian hati kita.

Saya mula mempelajari dan mengenali sisi gelap diri saya, apabila sahabat saya Cik Puan Diyana Tahir, berkongsi bagaimana mengenali ketakutan dalam diri, puncanya dan cara mengatasinya. Alhamdulillah, benar segala impian kita akan tercapai apabila kita mengatasi satu persatu ketakutan yang kita ada.

Sehingga hari ini, saya masih ada ketakutan dan masih belajar cara melaluinya. Bezanya, saya lebih sedar, saya takut dan mengambil tindakan. Dan, saya sangat bersyukur kerana melalui pengalaman-pengalaman ini.

Buat sahabat-sahabat yang ingin sama turut serta untuk dibantu mengenali ketakutan dan mempelajari bagaimana untuk mengatasinya sila  klik bit.ly/shtakut   utk daftar secara Webinar Soal Hati Siri 3 secara PERCUMA.





"Izinkan diri anda mengenali ketakutan dan mengatasinya kerana IMPIANmu lebih besar dari segalanya"

Sayang selalu,
Zura Ismail​