Monday, 13 April 2015

Telinga dan Infeksi, Bersyukurku Atas NikmatMu

Wajahku menahan sakit, masih tersenyum lebar hehe...

Telinga dan Infeksi, Bersyukurku atas nikmatMu
===================================

Sudah masuk hari ke-7 hari ini, telinga kananku dijangkiti kuman.

Hari Pertama dirasakan seperti bengkak didalam telinga. Di fikiran, terbayangkan jerawat yang tumbuh di dalam. Kesakitannya masih boleh ditanggung, jadi meneruskan sahaja kelas Hypnosis For Coach seperti biasa.

Hari kedua, rasa berdenyut-denyut semakin kuat. Dan, hari yang sangat kelam kabut buat saya. Syukur, perjalanan pergi dan pulang untuk menuntut ilmu HFC lancar.

Tetapi, pengalaman tersekat di ruang tangga kecemasan, 'homework tak siap', mencari kereta di parking tak jumpa, rumah blackout dsb menambah kekalutan. Namun, sempat ke klinik biasa untuk pemeriksaan dan ubat kerana kesakitan semakin bertambah dan tubuh mula menggeletar akibat suhu mulai naik.

Hari ketiga, terjaga lewat dari tidur kerana kesakitan telinga yang teramat hingga sukar melelapkan mata beberapa jam. Bayangan di fikiran, sakitnya seperti dicucuk dengan pemecah ais didalam telinga, dan berdenyut-denyut sekuat denyutan jantung. (Dramatik kan... fikiran, fikiran..) Kesakitan agak reda, di pagi itu, tetapi kembali kuat sebelum kelas berakhir.

Makan tengahari sepi, saya berdiam kerana hanya boleh satu perkara satu masa. Samaada bercakap, makan, minum kerana kesakitan terasa setiap kali mengunyah makanan. Fokus makan, solat dan terus ke sesi 'photoshoot'. Sedar tak sedar kesakitan hilang mungkin kerana ubat, mungkin juga seronok ber'photoshoot'. (Hehe, nak kena buat selalulah camni). Tidur, malam itu juga tidak lena kerana kesakitan kembali.

Hari ke- empat hingga ke-enam.

Sakit masih ada. 2 kali sehari. Kesakitan sangat memuncak selama hampir 2-3 jam dan waktu berikutnya lega. Pendengaran semakin kurang jelas dan percakapan saya juga semakin perlahan. (kadang-kadang cakap sorang rupanya.. hehe..)


Teringat pesan Doktor untuk kembali ke klinik jika sakit masih berterusan selepas 3 hari mengambil antibiotik.. Ting..Ting.. Ting.. dah lebih 3 hari pun.. Misi mencari klinik pakar ENT bermula... Satu di Ampang, tutup. di Subang, tutup, Shah Alam, tutup. Klang, tutup.. Puchong juga tutup.

Ada satu buka hari Ahad, sekali di Johor Bahru. Aduhai.. Rupanya, kritikal juga klinik pakar ENT ni. jadi terpaksalah menahan kesakitan. Menggunakan teknik hipnosis untuk penyembuhan, sakitnya sedikit kurang dan semalam tidur sangat lena.

Pagi tadi, pergi ke DEMC dan dirawat oleh Dr Razak, pakar ENT. Gegendang sebelah kanan sudah dijangkiti kuman dari luar dan dalam. Dari luaran, akibat habit yang suka sangat mengorek telinga selepas mandi. Dari dalaman, berpunca dari selsema berpanjangan, hingga sering tersumbat dan akhirnya kuman memasuki telinga.

Senyum sahaja saya mendengarnya. Betul, betul dan betul.. Tiada penafian.

Telinga kanan dicuci dan diletakkan ubat. Doktor turut membekalkan ubat untuk seminggu dan diminta kembali bertemujanji dengan beliau. Jika pendengaran tidak pulih, kemungkinan perlu melakukan pembedahan untuk membersih gegendang dan saluran tersumbat.

Mulalah ketakutan menguasai fikiran. Tetapi, hati tetap tenang dan bersahaja.

Terima kasih Ya Allah atas kesakitan ini. Ia mengingatkan untuk terus bersyukur atas nikmat pendengaran yang selama ini baik dan sangat membantuku.

Terima kasih kerana membenarkan ku melihat dan mengenali bahagian dalaman telinga dan hidungku.

Terima kasih kerana membenarkan ku mampu tersenyum walaupun kesakitan yang teramat.

Terima kasih kerana menyedarkan ku bahawa aku insan yang kuat menghadapi dugaan ini.

Terima kasih kerana menghadirkan insan-insan hebat untuk membantu penyembuhan ku.

Terima kasih kerana apabila aku tidak dengar, aku banyak berdiam, hening dan menyedari banyak hakikat dalam hidupku.

Terima kasih. Syukur. Alhamdulillah.

P/S: Menulis seperti watak feminin, yang mahu didengari.. hehe.. kalau tak faham takpe...

Nota untuk diri sendiri: Segera ambil tindakan jika tubuh fizikalmu memberi isyarat-isyarat memerlukan perhatian, ye sayang... ; )

Ini baru sakit fizikal. Betapa kesakitan yang sedikit memberi impak yang kuat. Kadang-kadang naik marah, sedih, geram apabila menghadapi sakit fizikal. Ada ketika sabar, tenang melaluinya.


Jadi bayangkan kesakitan yang dialami secara mental, tersimpan, tidak kelihatan. Jika kesakitan akibat emosi ini tidak dirawat, ia bakal mencetuskan pelbagai kesakitan lain dimasa kini dan masa hadapan. Jadi, berilah perhatian apabila diri anda sering berasa tidak tenang, senang marah, senang sentap atau sedih. Mungkin ada pengalaman -pengalaman lalu yang perlu dirawat?

Fikir, fikirkan. Tanyalah hati.

Semoga sahabat sekelian selamat, bahagia dan disayangi.

Sahabat hati anda.

Zura Ismail

No comments:

Post a Comment