Thursday, 4 July 2013

Perjalanan Mencari Tujuan Hidup


Hidup tanpa tujuan ibarat kereta yang dipandu tanpa destinasi. Nak pergi sana tak jadi, nak pergi sini tak kisah, nak berhenti tepi bosan pulak. Hasilnya kehabisan minyak, perut keroncong dan kadang-kadang masam muka dengan si dia.

Tetapi jika dari awal sudah tahu destinasi yang hendak dituju, kita sudah dapat menjangka apa yang bakal kita lalui sepanjang perjalanan, tempoh perjalanan, kawasan rehat, tempat - tempat menarik dan yang paling penting pengisian sepanjang perjalanan.

Serupa dengan sebuah perjalanan menuju destinasi, kehidupan juga perlu ada tujuan. Teringat seorang bekas rakan sekerja pernah menyatakan pada saya, " Engkau ni bukan apa, kau dah jumpa cahaya di hujung terowong, tahniah". Ini yang dinyatakan beliau apabila saya mengambil keputusan berhenti kerja untuk fokus kepada pengajian saya. Secara jujurnya, pada ketika itu, saya kurang memahami perjalanannya, tetapi sedikit demi sedikit rahsia perjalanan ini didedahkan oleh Allah SWT. Syukur, saya mula hidup dengan mengisi hidup dengan tujuan hidup yang sebenar dan sememangnya ia menimbulkan rasa kebahagiaan dalam hati dan jiwa. 

Tanpa tujuan hidup kita menjadi tidak bermakna, kosong, meraba-raba dalam kegelapan. Bukankah Allah SWT menurunkan setiap insan dengan tujuan menjadi khalifah di muka bumi ini? 

Persoalannya bagaimana? 

Adakah anda sudah berjumpa dengan tujuan hidup anda?

Jangan sesekali berputus asa dalam pencarian ini. Setiap insan di dunia ini ditakdirkan melakukan sesuatu yang baik dan mulia sebagai tujuan hidup mereka.  Ketahuilah jika anda sudah mula mencari makna kehidupan anda, ini bermaksud tujuan hidup anda memang dimaksudkan untuk ditemui. 

Teruskan mencari, sentiasa hidup dari saat ke saat penuh penghayatan dan hargai setiap nikmat yang diberi oleh-Nya. Dengan bantuan dari Allah SWT Insya Allah kita akan bertemu dengan tujuan hidup kita. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT untuk petunjuk dalam kehidupan.

Sesungguhnya, hidup adalah satu perjalanan destinasi akhir iaitu kembali kepada keagungan Illahi. 

Amin.

No comments:

Post a Comment