Sekali lagi dengan izin-Nya dapat saya menulis di blog ini.
Sebuah kisah tentang insan bergelar IBU, EMAK, UMMI atau apa sahaja gelaran yang diberikan kepada wanita yang melahirkan, mendidik dan menjaga insan-insan lain di dunia ini.
Tahun 1991
Seawal 6:30 pagi, kelihatan kelibat seorang ibu muda yang sedang sarat mengandung berbasikal tua membonceng anak perempuannya yang ke-empat. Ya, yang ke-empat dari tujuh orang adik beradik (termasuk yang didalam kandungan). Sukar digambarkan tetapi benar, kesemua anak ibu ini dilahirkan dirumah kediaman mereka dengan hanya menggunakan perkhidmatan jururawat atau juga dikenali sebagai bidan kampung. Pengecualian buat si adik bongsu, yang ketika itu sedang berkembang aktif didalam rahim ibu muda ini yang dilahirkan di hospital besar berkemudahan lengkap.
Perjalanan dari rumah kediaman mereka ke sekolah anaknya mengambil masa 20 ke 30 minit, bergantung kepada kayuhan. Kayuhan ibu muda ini perlahan kerana sarat mengandung dan boncengannya, anak yang berusia 10 tahun, agak berisi dan tembam.
Si anak tidak biasa bangun terlalu awal untuk ke sekolah, tersengguk- sengguk dan sering menguap sambil memeluk pinggang ibunya. Bagi si anak inilah kebiasaan, jika ayahnya tiada dirumah kerana tuntutan kerja. Tidak terlintas di fikiran si anak, kesusahan dan kepayahan seorang ibu yang sarat mengandung untuk mengayuh basikal dan membawa beban melebihi 25 kg.
Kicauan burung, keadaan pagi yang masih gelap, sejuk, sedikit sebanyak mempengaruhi tempo kayuhan basikal. Tiba-tiba bunyi yang kuat kedengaran, si ibu muda dan si anak terjatuh ke atas jalan tar yang keras kerana tersentak dengan kejutan salakan anjing dan kedalaman lubang.
"Aduh!" jerit si anak. Ibu muda itu bangun dengan segera, mengangkat basikal dan anaknya. Tanpa sedikit pun menghiraukan kesakitan pada tubuhnya mahupun kandungannya ketika itu, yang dirisaukan hanya si anak yang didepan matanya. "Sakitkah? Luka?" Pertanyaan demi pertanyaan diajukan kepada si anak, penuh kasih sayang dan keprihatinan.
Si anak menggeleng-geleng kepala menafikan rasa sakit akibat jatuh tadi. Jauh di dalam hati si anak, dia memikirkan betapa kasihan ibunya yang sarat mengandung itu terpaksa mengayuh dan jatuh pula kerana dirinya. Mujur kandungan ibu muda ini selamat walaupun jatuh terhentak kuat. Syukur.
Akhirnya basikal tua dituntun, kedua-dua mereka berjalan kaki ke sekolah. Si anak terus masuk ke laman sekolah, si ibu menggagahkan diri terus pulang ke rumah untuk meneruskan rutin harian menguruskan anak-anak lain dirumah. Ibu muda ini juga berniaga kecil-kecilan menjual nasi lemak untuk menampung perbelanjaan isi rumah. Tidak ada sebarang keluhan pernah diluahkan si ibu. Sentiasa rajin, bekerja kuat dan tekun melakukan tugasan sebagai ibu dan juga peniaga. Maha Suci Allah.
Tahun 2013
Ya Allah, sungguh kuat semangat ibu ini. Jika saya, mungkin tidak menghantar anak ke sekolah, menangis, mungkin terus di masukkan ke wad atau segera memohon suami pulang ke rumah. Ibu ini juga sangat mementingkan pendidikan untuk anak-anaknya walaupun dihimpit situasi sukar.Tidak sekalipun terdetik untuk memberhentikan sekolah anak-anaknya kerana beliau yakin pendidikan bakal mengubah masa hadapan anak-anaknya. Pasti ibu ini seorang yang berjiwa besar dan benarlah, semangat dan kasih sayang seorang ibu tiada tolok tandingan. Seorang ibu sanggup membiarkan dirinya kesakitan, kelaparan dan kepenatan demi kebahagiaan, keselesaan anak-anaknya.
Tiada balasan yang setimpal dapat diberikan kepada si ibu yang boleh mengembalikan kesihatan, zaman muda, titik peluh, keseronokan hidup dan waktu beribadah yang hilang akibat menjaga dan mendidik anak-anak penuh kasih dan sayang. Tidak dengan wang ringgit, rumah, kereta, barang kemas atau apa sahaja yang hanya mampu mengaburi mata fizikal bekalan di dunia. Hanya doa dan kebaikan adalah balasan yang lebih kekal hingga ke akhirat.
Untuk Mak
" Mak sungguh besar jasa Mak. Setiap ibu ingin sekali melihat anak mereka berjaya. Mak, tolong doakan Ju berjaya dunia dan akhirat, ye. Doakan Ju menjadi insan yang berjaya dan cemerlang disisi Allah SWT. Doakan Ju bertemu mak, abah, suami dan semua ahli keluarga yang lain di Syurga Firdausi kelak. Ju sayang semua, tetapi bila dituturkan secara lisan, jarang sekali kedengaran indah kerana menjadi kebiasaan untuk tidak menuturkan rasa sayang sesama ahli keluarga. Ju mohon ampun dan maaf atas segalanya. Semoga Mak bertemu bahagia yang dicari. Selamat Hari Ibu, Mak."
Ju Sayang Mak dan Abah.
" Sesungguhnya Allah S.W.T. mengasihi hamba-Nya yang mengasihi orang lain"
Wassalam.
No comments:
Post a Comment