Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Batman Begins, jika dahulu saya melihatnya sebagai satu filem yang berasaskan komik dan hanya untuk tujuan hiburan semata-mata.
Hari ini, pandangannya berbeza.
Filem ini banyak mengajar cara untuk mengatasi ketakutan. Ketakutan sering membuatkan kita takut maju untuk ke hadapan, takut untuk berbuat sesuatu, takut ini, takut itu.
Bruce Wayne, bermula dengan ketakutan yang dihadapinya apabila jatuh kedalam lubang yang dalam dan kelawar berterbangan ketika kanak-kanak.
Ketakutan yang sama yang menyebabkan ibu dan bapanya terbunuh dalam sebuah rompakan apabila Bruce Wayne meminta untuk pulang kerana teringat peristiwa kelawar berterbangan semasa menonton sebuah teater.
Pesanan terakhir bapanya, " Don't be afraid", tetapi tanpa sedar ketakutan itu telah menyelubungi diri Bruce Wayne dari dalam ke luar. Ketakutannya berubah menjadi kemarahan dan dendam kepada si pembunuh ibubapanya. Nampak seperti kejadian yang mudah, tetapi memberi impak signifikan dalam kehidupan Bruce Wayne.
Kesepian, buntu, marah, geram kepada aturan dunia yang tidak adil membawa Bruce Wayne jauh dari kota Gotham, lari dari dunia, masyarakat dan diri sendiri hingga ke negeri China. Mencuri makanan, merompak akhirnya membawa Bruce Wayne ke penjara di sana.
Ketakutan, kemarahan menguasai Bruce Wayne hinggakan ia memendamkan kesedihan yang keterlaluan. Kesedihan yang menyebabkan segala kenangan dengan orang tersayang bagaikan racun dalam sanubari. Hinggakan satu hari, Bruce Wayne berharap yang orang disayangi tidak pernah ada supaya dirinya tidak terus menderita.
Bertemu seseorang yang mempunyai perspektif berbeza, Bruce Wayne diajar dan dilatih mengatasi ketakutan dan hidup bersama ketakutan secara positif dan akhirnya ketakutannya kepada si kelawar bertukar menjadi kekuatan dirinya yang juga ialah Batman.
Musuh kota Gotham dan Batman juga menggunakan faktor ketakutan untuk tujuan memusnahkan. Menggunakan sejenis bahan kimia yang disebarkan melalui air yang akan halusinasi imej-imej yang menakutkan hingga menimbulkan pergaduhan dan akhirnya memakan diri. Betapa kuatnya faktor ketakutan dalam diri, ia boleh digunakan sebagai kekuatan ataupun kelemahan, bergantung kepada diri sendiri.
Ini mungkin hanya di dalam filem semata-mata bagi sesetengah orang. Tetapi, ketakutan adalah faktor penting membentuk realiti kehidupan. Ramai insan yang masih dalam ketakutan dan tidak tahu bagaimana untuk maju ke hadapan.
Saya sendiri punya ketakutan. Ketakutan melihat diri gagal, ketakutan untuk maju, ketakutan untuk berjaya dan macam-macam lagi. Seperti Bruce Wayne, ketakutan ini terbentuk semasa kita masih kecil dan kadang-kadang kita tidak menyedari ia membentuk perwatakan diri.
Di kursus Amazing Goal Praying anjuran Ummu AzzatFilzati, saya banyak belajar bagaimana untuk mengatasi ketakutan yang berlaku akibat masa lalu. Beberapa teknik diperkenalkan agar saya dapat mengenalpasti ketakutan luar sedar yang saya bina dalam diri. Hingga hari ini, saya masih dalam proses mengenal diri saya masa lalu agar saya dapat menanam benih - benih subur untuk membentuk masa hadapan yang lain.
Dengan izin Allah, saya memberi keizinan kepada diri saya untuk menjadi seseorang yang berguna kepada masyarakat seperti Bruce Wayne mungkin. Mungkin bukan super hero, tetapi memberi manfaat kepada masyarakat dalam bentuk penulisan. ; )
Bruce Wayne berjaya mengatasi ketakutan beliau dan menjadikannya kekuatan. Seperti Bruce Wayne, berilah peluang pada diri untuk menerokai dan mengatasi ketakutan diri.
Maha Suci Allah, ini manfaat yang saya dapat apabila menonton Batman Begins.
Syukur Alhamdulillah, kerana Allah SWT memberi saya peluang menerima siapa diri saya dahulu, membenarkan saya menanam benih- benih subur, membaja dan menyiram agar pokok saya membuahkan banyak hasil-hasil yang baik dan berkualiti (saya suka pertanian dan pernah bekerja di sebuah syarikat yang mengeluarkan minyak sawit, saya suka melihat bagaimana benih-benih sawit disemai penuh berhati-hati, anak-anak pokok ditanam dan dijaga penuh perhatian agar ia memberi 'yield' yang tinggi pada masa hadapan. Konsep yang sama boleh digunapakai untuk mendidik insan).
P/S: Jauhilah filem-filem seram, psiko dan sebagainya untuk mengelakkan ia membentuk ketakutan luar sedar dalam diri sendiri dan anak-anak.
Buat rakan-rakan Amazing Goal Praying, kisah Batman Begins memberi kesedaran berbeza kepada saya mengenai ketakutan.
Silalah menonton filem ini, ya, disiarkan di Astro Saluran HBO.
No comments:
Post a Comment