Sudah lama tidak menitip idea di blog ini. Projek ilmiah tahun akhir termasuklah urusan mencari kerja sentiasa mengisi hari-hari yang dilalui sehingga terlupa akan blog ini. Maaf ya, inilah akibat cubaan saat-saat akhir untuk menyelesaikan projek ini sebelum hujung bulan September. Insya Allah bergraduasi Disember ini. Amin.
Keazaman yang kuat membuatkan saya mencari pelbagai sumber agar dapat segera menyiapkan projek ilmiah ini dan akhirnya dengan izin-Nya saya bertemu Cik Puan Nor Abeerah yang memperkenalkan saya dengan Mendeley dan Dr OT. Mendeley? Apa itu? Dr OT? Siapa beliau?
Mendeley bukanlah satu permainan, kuih, atau apa sahaja yang Tuan-Tuan dan Cik Puan-Cik Puan fikirkan. Mendeley sebuah aplikasi yang diperkenalkan untuk membantu pelajar-pelajar Phd dan Master menguruskan artikel dan menulis rujukan dengan mudah. Memang mudah dan menyenangkan, sesuai dengan personaliti Dr OT yang mengajar pelajar-pelajar beliau menggunakan aplikasi di Bengkel Penulisan Tesis Pantas & Pengurusan Artikel Mendeley.
Dr OT pula, pada mulanya saya sangka beliau berketurunan India kerana semua guru atau pensyarah yang saya temui yang mengajar subjek 'Research Method' berketurunan India. Dr OT atau juga dikenali sebagai Dr Othman Talib seorang pensyarah yang banyak menganjurkan bengkel penulisan 'thesis' cepat. Beliau sendiri berjaya menyiapkan Phd beliau dalam tempoh 1 tahun 10 bulan dalam bidang animasi pendidikan kimia di Australia dan menerima pelbagai anugerah. Bangga betul dengan beliau.
Bersama Dr Othman Talib, seorang yang kelakar dan santai orangnya |
" Kenapa tulis tesis ni senang sangat?" antara penyataan beliau yang membuatkan hati saya membara. Saya tersangkut di peringkat menyiapkan projek ilmiah akhir ini sejak 2 tahun lalu. Segala kerja kursus dan peperiksaan telah diselesaikan, hanya tinggal projek ilmiah ini sahaja lagi. Dari hari ke hari, dari bulan ke bulan, dari tahun ke tahun, masih belum disiapkan. Sudah 3 kali saya bertukar tajuk. Aduhai.
Bengkel anjuran Dr OT di UIA semalam banyak mengajar saya menguruskan projek ilmiah ini. Sehingga bagaimana ingin membuat isi kandungan pun diajar. Tak sampai 5 saat pun. Terkedu saya melihat apa yang Dr OT ajar. Bukan apa, selama ini saya 'ingatkan' saya sudah peringkat tertinggi pengguna Ms Word rupanya masih ditahap kanak-kanak kecil. Huhu..
Bukan itu sahaja, banyak lagi tips dan muslihat yang diajar. Muslihat yang baik tau, yang membantu sangat pelajar-pelajar Master atau PhD yang sangkut di tengah jalan. Zero Draft Of Thesis (ZDOT - 3 minit je dah siap), Filtering Based On Themes (FBOT) dan Speed Reading On Target (SROT) antara teknik best yang diperkenalkan. Memang terbaik. Hee.. Tergelak sendiri mengenangkan konon-konon 'kebijaksanaan' diri sendiri yang sebenarnya memakan diri. Ini yang dikatakan malu bertanya sesat jalan. Hee..
Dr OT turut menyelitkan sedikit sebanyak kisah asam garam penyelidikan di Malaysia. Memang banyak yang pahit tetapi ada juga yang manis. Dan yang paling manis kenangan di atas pentas saat menerima Ijazah Kedoktoran. Semoga menjadi realiti. Amin.
Ya Allah izinkan hamba-Mu dan Suamiku menyiapkan projek akhir ini dan meneruskan pengajian ke peringkat PhD. Lokasi bengkel di UIA sedikit sebanyak mengimbau kenangan di Kota Suci Mekah awal tahun ini. Sangat menenangkan dan mendamaikan. Seronok juga jika dapat belajar di UIA. Hee.. Mujur pihak penganjur Hjh Azizah dari D'Anna Infotech Solutions menjalankan bengkel disini. Terasa sedikit seperti pelajar UIA.
Tahniah diucapkan buat rakan-rakan di Management & Science University yang bakal menerima Ijazah Sarjana Perniagaan esok. Naik pentas tu elok-elok. Insya Allah kami akan menyusul.
Buat yang berminat untuk menyertai bengkel penulisan tesis pantas & pengurusan artikel Mendeley boleh layari blog Dr OT di http://drotspss.blogspot.com.
Doakan kami ye.
Assalamualaikum WBT.